KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor Syarikat Air Terengganu (SATU) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM11,060 pada tahun 2017.
Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibenarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen/Majistret Noradila Ab Latif di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Terdahulu, lelaki berumur 50 tahun itu ditahan SPRM di pejabat agensi itu pada kira-kira 5.30 petang semalam mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ia susulan satu tuntutan palsu yang dibuat berjumlah RM11,060 bagi projek ubah suai bumbung garaj depoh SATU, Gong Badak pada Disember 2017.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. – BERNAMA