Beliau berkata, rombakan itu termasuk menarik penyertaan dua calon Presiden yang tewas, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bagi memperkasakan kembali UMNO selepas agenda pemilihan parti selesai.
Katanya, beliau juga akan mencari pendekatan bagi menentukan hala tuju baharu UMNO dari segi struktur atau perlembagaan.
Beliau berkata, pendekatan itu perlu bagi menyusun langkah menjenamakan semula Barisan Nasional (BN) berikutan UMNO adalah tunjang utamanya.
“UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 dan saya menganggap ia adalah UMNO 1.0. Pada 1987, UMNO terbelah dua dan itu UMNO 2.0. Dalam keadaan kita terdampar pada 9 Mei lalu, UMNO perlu melihat piagamnya dan berjalan semula atas semangat UMNO 3.0.
“Ketika Perikatan ditubuhkan dulu, ia adalah BN 1.0. Apabila BN ditubuh menggantikan Perikatan, itulah BN 2.0. Tidak mustahil UMNO melihat BN kini sebagai BN 3.0 untuk dijenamakan semula selepas berunding dengan MCA dan MIC yang bersama kita dalam saat kepayahan ini.
“Penjenamaan harus berlandaskan kepelbagaian kaum, agama dan latar belakang setiap parti agar ada parti menyertai gagasan baharu ini.
“Kita perlu berpijak di bumi nyata masyarakat di Malaysia berdasarkan sunatullah, kewujudan pelbagai kaum, agama dan bahasa akan diterangkumkan dalam gagasan parti politik baharu ini. UMNO akan menjadi tulang belakang kepada gagasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya yang pertama sebagai Presiden UMNO yang baharu di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; serta Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, rombakan yang akan dilaksana turut membabitkan jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri.
“Dalam pentadbiran baharu yang ditentukan perwakilan, kita akan melakukan rombakan. Bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan jawatan lain, akan difikirkan apa yang sesuai atau diberi penyesuaian untuk dibuat pembaharuan.
“Kita juga akan melihat jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri untuk disesuaikan dengan situasi politik negeri serta penerimaan terhadap mereka, termasuk dari segi potensi kerana penyandangnya juga akan menganggotai Jawatankuasa Perhubungan.
“Bagi sayap parti pula, saya berharap sebarang aktiviti dirancang dan dilakukan akan ke arah menarik sokongan rakyat, terutama bagi mengukuhkan UMNO,” katanya.
Seterusnya, Ahmad Zahid berkata beliau akan menilai peranan dapat dimainkan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh untuk bersama mengorak langkah pembaharuan UMNO.
“Saya melihat ada perubahan sedang dirangka, termasuk semua aku janji dibuat calon jawatan Presiden. Saya ada 15 aku janji, KJ lapan dan Ku Li tujuh.
“Semua aku janji itu akan diteliti oleh saya, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, serta wacana diada untuk menentukan sama ada seluruh transformasi tiga calon diperinci dan dilaksanakan.
“Saya akan berunding dengan sahabat lain dan mengemukakan kepada MT selepas itu,” katanya. -BERITA HARIAN