PENDANG – Dalam usia yang telah mencecah 71 tahun, Siti Romlah Salleh masih menggagahkan diri untuk keluar menoreh getah setiap pagi demi mencari sesuap nasi.
Dengan rutin harian keluar seawal 7 pagi, wanita tua yang gigih dari Kampung Banggol Tambak itu berkata selagi kudratnya masih ada, beliau tetap akan melakukan pekerjaan itu walapun hanya meraih pendapatan sekadar sekitar RM150 sebulan.
“Sejak kematian suami empat tahun lalu, sayalah buat apa pun seorang diri di rumah yang semakin usang dimakan anai-anai…selain berlubang, bumbung zink juga bocor menyebabkan setiap kali hujan perlu menahan bekas bagi mengelak basah.
“Rumah ini tidak mampu saya baiki kerana dengan pendapatan sebanyak itu hanya cukup untuk beli beras dan barangan dapur. Selain itu, saya juga masih menggunakan air telaga untuk kegunaan seharian untuk mencuci pakaian dan pinggan-mangkuk,” katanya kepada pemberita yang meninjau kesusahan hidup warga emas itu di rumahnya, di sini hari ini.
Pada sebelah malam pula, Siti Romlah terpaksa menumpang tidur di rumah adiknya tidak jauh dari rumahnya itu kerana tiada siapa yang dapat menemaninya tinggal di rumah sendiri dan juga kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas dirinya termasuk disengat ular berbisa yang sering memasuki rumahnya.
Siti Romlah sebelum ini tinggal bersama suaminya di Kampung Tekai di Padang Terap dekat sini, namun terpaksa berpindah semula ke sini selepas kematian suaminya itu empat tahun lalu.
Kesempitan hidup Siti Romlah telah mengundang simpati dan mendapat perhatian Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) yang beberapa pegawainya telah mengunjungi beliau di rumahnya untuk menghulurkan bantuan selain berjanji akan membantu mempermudahkan proses permohonan rumah baharu buatnya.
Pengurus Komunikasi Korporat dan Multimedia MBI, Cik Embun Majid yang ditemui semasa lawatan itu berkata, permohonan rumah oleh Siti Romlah telah dikemukan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan difahamkan ia telah diluluskan untuk dibina di atas tanah miliknya yang terletak berdekatan.
“LZNK telah meluluskan bantuan rumah kepada Siti Romlah dengan peruntukan maksimum sebanyak RM25,000 dan akan dibina tidak lama lagi, saya harap selepas ini hidupnya akan lebih selesa dan selamat berada di rumah ini,” katanya.
Katanya rumah baharu itu akan dilengkapi dengan sebuah bilik tidur dan bilik air dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula dalam tempoh terdekat.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pegawai Zakat Daerah Pendang, Mohd Nasri Abdul Ghani.
Selain bantuan rumah, Siti Romlah juga menerima Bantuan Orang Tua (BOT) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan. – BERNAMA