KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Sabah menahan seorang wanita warga Indonesia kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memalsukan dokumen berkaitan urusan imigresen.
Wanita berumur 28 tahun itu adalah seorang daripada dua individu yang diperiksa di sebuah premis kedai runcit di Internation Flat L, Batu 2.5, Jalan Utara, Sandakan, oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Sandakan pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Musa Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata individu kedua iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang diperiksa dalam Ops Mega 3.0 (SERKAP) yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Azlan Shah Hashim itu, dibebaskan dengan jaminan polis.
Wanita berkenaan pula ditahan di Pusat Tahanan Sementara Sungai Sibuga untuk tindakan lanjut.
Menurut Musa beberapa dokumen seperti lesen memandu antarabangsa, salinan dokumen IMM13, borang permohonan Jabatan Pendaftaran Negara, borang perakuan nikah termasuk borang perakuan nikah luar negara, buku pasport antarabangsa Pakistan yang meragukan, surat permohonan masuk, sejumlah wang tunai, pemacu keras dan banyak lagi dokumen lain berkaitan dirampas daripada wanita dan lelaki berkenaan.
Turut dirampas kata Musa ialah beberapa peralatan seperti mesin pencetak, mesin pengimbas, kamera, dakwat dan beberapa kad berwarna putih yang belum diproses.
Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) iaitu membuat atau memalsukan atau meminda suatu dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau kelayakan. – BERNAMA