KUALA LUMPUR – Bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern dan juara kebangsaan yang baharu, S. Sivasangari akan berdepan sesama sendiri pada saingan separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2018, selepas mereka menumpaskan lawan masing-masing hari ini.
Dalam aksi suku akhir kategori wanita yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Wee Wern bagaimanapun terpaksa berhempas pulas, sebelum menumpaskan pemain Hong Kong Liu Tsz-Ling 10-12,11-6,11-6,11-2 dalam masa 39 minit.
“Saya bermula agak perlahan, dan berjaya mendahului namun tidak bernasib baik apabila kalah pada set pertama. Pada set kedua, saya berasa lebih selesa dan mampu mengawal situasi dan mencatat kemenangan penting di set ketiga dan keempat untuk menamatkan perlawanan.
“Pada perlawanan separuh akhir esok, sesuatu yang menarik kerana sekali lagi berdepan Sivasangari, dan ia satu pencapaian dapat beraksi dalam peringkat separuh akhir kejohanan PSA (Persatuan Skuasy Profesional) selepas berehat lama akibat kecederaan lutut,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Pilihan ketiga, Sivasangari pula mara ke separuh akhir selepas mengatasi seorang lagi pemain Hong Kong, Lee Ka Yi 11-6, 11-5, 11-6 dalam masa 25 minit perlawanan.
Selaku juara bertahan bukan satu jaminan bagi Sivasangari untuk mendapat laluan mudah pada aksi separuh akhir kerana beliau sedar tahap kejohanan itu sudah meningkat pada kali ini.
“Berdepan Wee Wern sesuatu yang sukar kerana beliau bermain daripada pusingan kelayakan, dan beraksi dengan baik sehingga mara ke separuh akhir…saya pasti beliau akan lebih bersungguh-sungguh esok.
“Walaupun beliau tewas kepada saya awal bulan ini pada Kejohanan Kebangsaan, kali ini berbeza. Saya bersedia dari segi mental dan akan beraksi seperti biasa,” katanya.
Satu lagi aksi separuh akhir adalah antara pilihan pertama dari Mesir, Omneya Abdel Kawy berdepan pilihan keempat dari Jepun, Satomi Watanabe yang menumpaskan lawan masing-masing di suku akhir.
Sementara itu dalam kategori lelaki, cabaran pemain nombor satu negara Mohd Nafiizwan Adnan berakhir apabila tumpas kepada pilihan utama, Leo Au dari Hong Kong, 3-11, 10-12, 11-4, 8-11 dalam masa satu jam.
Pilihan kelapan, Ng Eain Yow turut gagal melakukan kejutan untuk mara ke separuh akhir apabila kalah kepada pilihan keempat Lucas Serme dari Perancis, 4-11, 7-11, 11-8, 10-12.
Leo akan bertemu Abdulla Mohd Al Tamimi dari Qatar yang menewaskan Joel Makin dari Wales, 11-3, 5-11, 11-9, 4-11, 11-3, manakala Lucas akan menentang pemenang antara pilihan kedua, Tsz Fung Yip dari Hong Kong atau pemain India Mahesh Mangoakar, pada separuh akhir esok. – BERNAMA