RASAH – Lebih 100 penyokong Barisan Nasional (BN) hadir memberi sokongan kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa prosiding kes petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini.
Mereka mula berkumpul di pekarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi bagi menyambut Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau yang tiba kira-kira pukul 8.35 pagi.
Antara yang hadir Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli dan Ketua Penerangan MIC, Datuk VS Mogan.
Petisyen itu difailkan calon PKR bagi DUN tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr. S. Streram pada 23 Mei lalu untuk menuntut perintah supaya satu pilihan raya kecil diadakan dengan serta-merta di DUN itu setelah mendakwa penyandangnya iaitu Mohamad tidak dipilih secara sah dan terbatal.
Pada prosiding itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO diwakili lima peguam diketuai Datuk Hafizam Harun manakala Streram diwakili empat peguam dengan diketuai Hanif Kathri.
Prosiding di hadapan hakim Datuk Azimah Omar yang bermula pukul 10 pagi bersambung semula pada pukul 2 petang. – UTUSAN ONLINE