KUALA LUMPUR – Dua remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), dekat Bukit Beruntung, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Lim Bak Phai yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Mustaqim Azizuddin dan Muhammad Zahin Abdullah yang masing-masing berumur 16 tahun.
Dalam kejadian pada kira-kira 2 pagi tadi, kedua-dua remaja berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Bukit Beruntung menuju ke Rawang, katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Lim, Mustaqim yang menunggang motosikal itu dipercayai tidak sempat mengelak dan merempuh belakang kenderaan jenis pacuan empat roda iaitu Mitsubishi Triton yang berhenti di lorong kecemasan.
āPemandu lelaki kenderaan berkenaan yang berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaannya mengalami remuk di bahagian belakang kanan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. – BERNAMA