SEOUL – Dua wanita dirakam ‘bergusti’ di sebuah pusat beli-belah selepas salah seorang daripadanya bertindak memotong barisan ketika mahu membuat bayaran.
Kejadian itu berlaku di bahagian kosmetik tingkat 12 di sebuah bangunan pusat beli-belah di daerah Uljiro di sini baru-baru ini.
Satu klip video yang dimuat naik ke internet menunjukkan dua wanita berkenaan saling menarik rambut dan menolak antara satu sama lain ke lantai.
Seorang wanita yang memakai kemeja-T dilihat menumbuk seorang wanita lain di hadapan khalayak ramai yang turut terkejut dengan insiden itu.
Secara tiba-tiba, suami wanita itu turut campur tangan apabila bertindak menendang badan wanita yang terbaring di atas lantai.
“Dia membuli isteri saya,” jerit lelaki itu, manakala beberapa saksi cuba menariknya.
Bagaimanapun, seorang kakitangan kaunter kosmetik menyifatkan kejadian itu berlangsung hampir lima minit gara-gara salah seorang wanita itu bertindak memotong barisan tanpa rasa bersalah. – Agensi/KOSMO ONLINE