PELAKON dan penyanyi Safura Yaacob yang memuat naik status bagi memperingati anak perempuannya, Nur Aisyah Mariam yang meninggal dunia pada 12 September 2011 menyentuh hati pengikut Instagram.
Safura dalam statusnya itu memberitahu kehadiran Mariam selama tiga tahun dalam hidup mereka sekeluarga sudah cukup membahagiakan dan berdoa agar Allah mempertemukan mereka di Jannah suatu hari nanti.
Penyanyi lagu Sedalam Mana Cintamu itu juga memuat naik status itu sebagai memperingati tarikh kelahiran Allahyarham iaitu 23 Ogos 2008.
“23 Ogos 2008… Lahirnya anak syurgaku ke dunia. Tiga tahun menanti kehadiran mu dan tiga tahun sahaja Allah pinjamkan kami untuk membahagiakan kami sekeluarga.
“Sesungguhnya Allah itu adalah sebaik-baik perancang. Kami reda dalam ketentuan Mu ya Rabb… Semoga Allah pertemukan kita nanti dalam Jannah Allah yang sudah tentu pasti,” tulisnya.
Menerusi status sama, Safura turut memberitahu dia merindui anaknya itu selain memuat naik gambar Mariam dan kuburnya.
“Mama rindu, Al-Fatihah,” katanya.
Mariam meninggal dunia pada usia 3 tahun kerana demam berpanjangan adalah anak pertama penyanyi itu dengan pelakon Sahronizam Noor.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang dekat sini.
Selain Mariam, Safura dan Sahronizam mempunyai tiga lagi cahaya mata iaitu Yusoff Firdaus, 9 tahun, Zara Nur Aisyah, 8 tahun dan Ariana Sofia, 4 tahun.
Safura turut mempunyai dua orang anak lain iaitu Nurul Natasha, 24 dan Muhammad Daniel Khaqim, 18, hasil daripada perkahwinannya sebelum ini. – mStar Online