MIAMI – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, termasuk seorang suspek dalam kejadian tembakan rambang di pertandingan permainan video di Jacksonville, utara bandar Florida hari ini, kata polis.
Ketua Sheriff Jacksonville, Sheriff Mike Williams mengesahkan bahawa ada mangsa yang terbunuh dan cedera dalam insiden tembakan ketika berlangsungnya pertandingan permainan video Madden 19 American football eSport.
Seorang daripada mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai suspek yang dipercayai bertindak sendirian.
“Kami tiada suspek lain kecuali seorang dalam kes ini dan dia turut terbunuh di tempat kejadian,” katanya.
Williams berkata, tembakan berlaku di dalam sebuah restoran di kompleks hiburan dan beli-belah The Landing tanpa memberikan maklumat terperinci.
Menurut LA Times yang memetik kenyataan seorang peserta profesional Noble eSport, Steven “Steveyj” Javaruski sebagai berkata penembak itu adalah seorang peserta yang turut bertanding dan tewas.
Setiausaha akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders mengesahkan bahawa Presiden Donald Trump sudah dimaklumkan mengenai insiden itu. – AFP/BH ONLINE