PUTRAJAYA – Kira-kira 840,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) tampil menyerah diri menerusi Program Penghantaran Pulang PATI Secara Sukarela (3+1) sejak program itu diperkenalkan pada 2014 hingga kini, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga pihaknya mengutip kira-kira RM400 juta dalam bentuk kompaun.
“Program ini dianggap sangat berjaya kerana ia menjimatkan kos kerajaan kerana kita tidak perlu menangkap dan menempatkan mereka di depoh tahanan serta perlu menanggung makan, minum dan kos perubatan mereka,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mustafar berkata bagi tahun ini sahaja, 148,774 PATI menyerah diri bawah program itu.
Bagi memastikan kelancaran program 3+1 yang tamat pada 30 Ogos ini, beliau berkata kaunter Imigresen di seluruh negara beroperasi pada cuti hujung minggu dari 8 pagi hingga 5 petang, bermula semalam.
Sehubungan itu beliau menyeru PATI agar mengambil peluang yang masih ada untuk tampil di bahagian penguat kuasa Jabatan Imigresen bagi menyertai program 3+1 berkenaan.
“Mulai 31 Ogos kita cuba ‘merdekakan’ Malaysia daripada PATI bagi mengambil semangat Hari Kemerdekaan. Kita akan meneruskan operasi untuk menahan PATI yang masih ada di negara ini selepas program 3+1 tamat,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Mustafar berkata bagi tempoh 1 Januari hinggga Khamis lepas (2 Ogos), jabatan itu telah menjalankan 8,694 operasi di seluruh negara.
Katanya sebanyak 108,000 pekerja asing telah diperiksa dan 26,200 PATI serta lebih 700 majikan telah ditahan.
“Kita tiada anggaran jumlah PATI kerana mereka berubah wajah sekejap sahaja. Hari ini dia datang dengan visa pelajar, esok dia kerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan (GRO), maka mereka adalah PATI,” katanya ketika ditanya mengenai jumlah PATI yang masih ada di negara ini.
Dalam pada itu, Mustafar berkata majikan dan PATI terlibat dalam Program Rehiring yang gagal menjelaskan bayaran kompaun dalam tempoh ditetapkan akan disenarai hitam melalui biometrik (BioSL) bermula 1 September ini.
“Pesalah yang disenarai hitam tidak akan dikeluarkan pasport dan dokumen perjalanan, tidak dibenarkan meninggalkan negara dan tidak dapat melakukan sebarang urus niaga di Jabatan Imigresen,” katanya.
Mustafar berkata Jabatan Imigresen memandang serius sikap sambil lewa pesalah yang gagal menjelaskan kompaun itu yang tertakluk di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – BERNAMA