KOTA BHARU – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan menyembelih beberapa ekor lembu sempena Majlis Ibadat Qurban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.
Seri Paduka, yang tiba kira-kira pukul 11.35 pagi diiringi Pemangku Raja Kelantan, yang juga Yang Dipertua MAIK, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Seri Paduka turut diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Sementara itu, Nik Mohd Azlan berkata Yang di-Pertuan Agong menyumbangkan sebanyak 30 ekor lembu manakala Pemangku Raja Kelantan pula menyumbang tujuh ekor lembu.
Beliau berkata MAIK pula menyumbangkan 33 ekor lembu bagi majlis itu.
“Kita anggar mampu mengagihkan daging berkenaan kepada kira-kira 2,500 fakir miskin dengan setiap asnaf akan menerima sebanyak satu kilogram daging dan tulang yang siap dicincang.
“Kita juga menyediakan 20 outlet agihan seperti di Masjid Muhammadi, Masjid Panji dan beberapa pondok di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas,” katanya.
Katanya pada tahun lepas MAIK mengorbankan 57 ekor lembu dan mengagihkn daging kepada 2,300 asnaf dan fakir miskin. – BERNAMA