KAJANG – Pelakon popular, Fasha Sandha, mengakui jejaka yang dikaitkan dengannya, Aidil Aziz sudah bertemu keluarganya, namun menegaskan, tiada perbincangan serius, terutama berkaitan perancangan perkahwinan dilakukan.
Masih meletakkan antara mereka hanya berkawan rapat, Fasha, 34, berkata, setakat ini, tiada perkembangan terbaharu mengenai hubungannya dengan pelakon yang popular menerusi drama, Saiful Nita itu untuk dikongsi kepada umum.
“Memang Aidil sudah berjumpa keluarga saya, begitu juga sebaliknya. Kiranya, kami sudah saling mengenali keluarga satu sama lain. Tetapi ia sekadar pertemuan biasa, tiada perbincangan mengenai perancangan perkahwinan dan sebagainya.
“Mengenai hubungan dengan Aidil, kami masih kekal sebagai kawan. Anak saya juga rapat dengannya, terutama yang bongsu, Putri Raysha Jemyma.
“Dia susah rapat dengan orang luar, tetapi dengan Aidil, dia cepat serasi,” kata Fasha ketika ditemui pada majlis pelancaran ubat gigi, Aurawhite dan pengumumannya sebagai ikon produk itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Fasha turut memberitahu, kehadiran Aidil turut memberi lebih makna dalam hidupnya.
“Selama ini, saya memang bahagia, tetapi kehadiran Aidil membuatkan hidup saya lebih gembira,” katanya yang turut dikurniakan anak lelaki, Putra Rayfal Ramli. – BH ONLINE