JAKARTA – AirAsia sedang mempertimbang untuk menambah tiga lagi destinasi ke laluan Malaysia-Indonesia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
“Kami sedang berbincang untuk Belitung dan juga merancang untuk ke Banyuwangi dan Raja Ampat,” katanya kepada media selepas mengumumkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Lapangan Terbang Silangit di Tapanuli, Sumatera Utara.
Fernandes berkata, syarikat penerbangan kos rendah itu sangat yakin mengenai Indonesia kerana ia merupakan pasaran yang besar untuk kumpulan tersebut.
Menurut Kementerian Pelancongan Indonesia, 25 peratus pelancong antarabangsa kini datang ke Indonesia melalui Kumpulan AirAsia.
Fernandes berkata, pelancong yang melancong ke dan dari Indonesia dapat memanfaatkan perkhidmatan pertukaran penerbangan AirAsia untuk transit yang lancar di hab Kuala Lumpur ke lebih daripada 22 destinasi antarabangsa.
“Kami sedang menambah lebih banyak pesawat. Jakarta sendiri mempunyai potensi besar sebagai destinasi sekunder dan tertiar.
“Ia boleh menjadi sebesar Bangkok sebagai destinasi pelancongan,” katanya, sambil menambah bahawa kumpulan itu juga merancang untuk mewujudkan perniagaan baru seperti bekerjasama dengan perkhidmatan pelayaran.
Selain Silangit, AirAsia terbang 21 laluan dari Malaysia ke 15 destinasi lain di Indonesia iaitu Jakarta, Lombok, Pekanbaru, Surabaya, Bali, Medan, Padang, Semarang, Banda Aceh, Pontianak, Yogyakarta, Palembang, Bandung, Makassar dan Solo.
Beliau berkata, sebagai tambahan kepada membina lapangan terbang baru, Indonesia juga sedang menukarkan Terminal 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kepada terminal syarikat penerbangan kos rendah.
“Kami percaya ini adalah langkah ke arah yang betul dan kami akan terus menyokong sepenuhnya Kementerian Pelancongan untuk mencapai 20 juta ketibaan pelancong menjelang 2019,” katanya.
Negara ini menyasarkan 17 juta ketibaan pelancong tahun ini.
Sementara itu, Fernandes berkata, AirAsia juga sedang merancang pembukaan hubnya di Silangit ketika lapangan terbang tersebut mengembang dan infrastruktur bandar bertambah baik.
Sebelum Lapangan Terbang Silangit, pelancong yang ingin melawat Tasik Toba terpaksa mengambil bas selama enam jam dari Medan.
Hari ini, mereka boleh terbang terus ke Silangit dari Kuala Lumpur dan sampai ke Tasik Toba hanya dalam masa sejam, katanya.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim, Luhut Pandjaitan berkata, beliau yakin perkhidmatan baru itu akan meningkatkan kedatangan pelancong ke Tasik Toba, yang telah dikenal pasti sebagai satu daripada 10 destinasi pelancongan keutamaan di Indonesia.
“Kami sedang menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Silangit dan memanjangkan landasan daripada 2,650 meter kepada 3,000 meter.
“Kami juga memperluaskan apron dan bangunan terminal untuk menampung lebih banyak pesawat dan penumpang. Kami harap laluan baharu ini akan memberi manfaat kepada ekonomi dan komuniti,” katanya. – BERNAMA