PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, belum bersedia untuk mengulas mengenai desas desus persaraannya apabila kontrak perkhidmatannya bakal tamat pada 29 Ogos ini.
Beliau juga memaklumkan tidak mengetahui sama ada status kontraknya akan disambung atau tidak.
“Saya tidak tahu lagi…belum boleh komen lagi, sekarang ada mesyuarat Kabinet,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Felo Perdana yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Sebelum ini, sumber Pejabat Perdana Menteri menyatakan kontrak Ali yang berakhir pada 29 Ogos ini tidak akan disambung.
Difahamkan, perkhidmatannya sebelum ini disambung secara kontrak ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. – BH ONLINE