SANDAKAN – Sebuah rumah di Kampung Cenderamata dan premis Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Taman Po Hing Batu Sapi antara yang mengalami kerosakan akibat angin kencang yang melanda daerah ini, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu merobohkan struktur rumah di Kampung Cenderamata itu, manakala bumbung premis PASTI itu diterbangkan angin kencang.
Angin kencang itu juga menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang antaranya di simpang masuk ke Taman Fajar di Jalan Airport dan Jalan Sepilok di gerbang masuk ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan.
Kejadian pokok tumbang itu turut menghempap bumbung bangunan tiga tingkat Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura di Batu 12.
Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia Daerah Sandakan, Kapt Ahmad Roslan Mohd Kamel, berkata pihaknya menerima 13 laporan mengenai kerosakan bangunan dan pokok tumbang susulan angin kencang itu.
Katanya tiada laporan kecederaan diterima dan pemindahan mangsa yang teribat disebabkan kejadian itu.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan turut melakukan operasi pemantauan.
Dalam pada itu, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sepilok ditutup sementara esok berikutan kerosakan Platform 2 pejalan kaki di pusat itu akibat dua pokok besar yang tumbang.
Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC Wong Siew Te berkata kejadian itu turut merosakkan dua kawasan pagar di pusat itu.
Kerja pembersihan akan dilakukan esok dan penilaian akan dibuat sekiranya pusat itu akan dibuka semula pada Rabu, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hanya pusat pelawat dan kedai jualan cenderamata masih dibuka kepada orang ramai. – BERNAMA