KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan 10 kru sebuah bot kargo yang hampir tenggelam selepas melanggar terumbu karang di Bangi berhampiran Malawali Strangler, Kudat awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kudat Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau berkata dalam kejadian pada 2 pagi tadi itu, kru bot kargo Barter Trade ML Fatima Nur-Ann milik sebuah syarikat dari Filipina tersebut diselamatkan bot ronda APMM yang sedang menjalankan rondaan di perairan berkenaan.
“Kesemua kru kapal berusia antara 21 hingga 55 tahun itu selamat dan dibawa ke pejabat APMM Kudat untuk diambil keterangan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata bot yang membawa muatan gula serta barangan runcit itu sedang dalam perjalanan dari Wilayah Persekutuan Labuan menuju ke Pulau Jolo di selatan Filipina.
Katanya nilai kerugian akibat daripada pelanggaran itu ialah RM1.4 juta. – BERNAMA