MIRI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 10 warga Vietnam serta merampas pelbagai ikan bernilai RM200,000 semasa rondaan Ops Permai di perairan Miri pukul 4.25 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, 10 orang warga Vietnam termasuk seorang tekong telah ditahan ketika berada di dalam bot nelayan dari Vietnam dengan nombor pendaftaran B91296 pada jarak 95.2 batu nautika dari Kuala Baram.
‘Hasil siasatan awal mendapati 10 orang warga Vietnam yang berusia16 dan 52 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak mendapat kebenaran menangkap ikan di perairan negara dari Jabatan Perikanan Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Fauzi berkata, APMM Miri turut merampas pelbagai jenis ikan seberat 200 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM200,000.
“Bot nelayan serta 10 orang nelayan warga Vietnam telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Perikanan 1985,”katanya lagi. – BERNAMA