KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan Arab Saudi akan terkilan dengan Malaysia susulan tindakan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).
Menurut Najib, KSCIP diilhamkan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Kerajaan Malaysia di bawah pimpinannya (Najib) ketika itu menyambut baik cadangan tersebut yang dianggap baik untuk kedua-dua negara.
“Mereka (Arab Saudi) memilih Malaysia berbanding dengan banyak negara lain, jadi kita menolak bantuan daripada kerajaan Saudi yang merupakan negara yang amat baik hubungan dengan Malaysia. Mereka akan terkilan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini.
Semalam, Kementerian Pertahanan menerusi jawapan bertulis kepada soalan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan menghentikan operasi KSCIP dan pejabat sementaranya di Jalan Ampang juga ditutup serta-merta.
Kementerian itu berkata fungsi KSCIP diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) di bawah Kementerian Pertahanan. – BERNAMA