ABAH… Asalkan Bukan Harapan kini secara rasmi menjadi slogan bersama UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Petaling Jaya, Selangor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengesahkan perkara itu berkata, slogan tersebut dipilih kerana objektif kedua-dua parti berkenaan adalah sama iaitu untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH).
Ia sekali gus menjadi simbolik bermulanya penolakan rakyat marhaen terhadap kegagalan pentadbiran PH tunai janjinya sendiri setelah genap 100 hari ‘tawan’ Malaysia sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.
“UMNO Selangor beri jaminan komitmen untuk kerja keras bagi memastikan kemenangan PAS,” kata beliau selepas berakhirnya proses penamaan calon PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Dalam PRK yang ketiga sejak PRU ke-14 itu, PAS mempertaruhkan Dr. Halimah Ali sebagai calon untuk menentang Halimey Abu Bakar daripada PKR yang julung kali bertanding dengan mewakili PH dan logo gabungan tersebut.
PRK DUN Seri Setia dilakukan susulan penyandangnya, bekas pensyarah universiti, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin dari PKR yang juga exco kerajaan Selangor, meninggal akibat kanser usus di Putrajaya pada 2 Ogos lalu.
Ia diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong yang menampilkan calon DAP apabila turut bertanding buat kali pertama atas logo PH untuk menentang wakil MCA yang secara kebetulan tidak lagi menggunakan lambang BN.
Slogan Asalkan Bukan Harapan yang diringkaskan sebagai ABAH, mula diguna secara luas ketika PRK DUN Sungai Kandis awal bulan ini dengan menyaksikan perlawanan antara calon BN, PKR dan Bebas. – Agensi/Mynewshub.TV