PALEMBANG – Atlet papan selaju negara, Ian Nuriman Amri mencuri tumpuan ketika membuat penampilan sulung pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 hari ini.
Walaupun gagal menandingi atlet papan selaju terkemuka di benua ini, atlet Malaysia berusia 11 tahun itu tetap menjadi perhatian khalayak yang terkejut melihat Ian, dengan ketinggian hanya sekitar 135 sentimeter memasuki gelanggang di Stadium SkateBoard, Bandar Sukan Jakabaring di sini.
Malah, sebelum ini beliau turut menarik perhatian di perkampungan sukan atlet di sini, apabila ramai terkejut mendengar ‘budak kecil’ itu bertanding pada temasya sukan kedua terbesar di dunia itu selepas Sukan Olimpik.
Turun ke gelanggang dengan berpakaian jersi harimau, seluar berwarna biru gelap dan kasut hitam, atlet cilik itu menerima sorakan daripada penonton sebaik sahaja namanya disebut pengacara majlis dan setiap kali melakukan ‘tricks’.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila gagal melepasi pusingan kelayakan acara Park lelaki yang berlangsung dalam keadaan cuaca panas terik tengah hari tadi, dengan perbezaan hanya 2.33 mata.
Ian menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada sepuluh peserta dengan mengumpul 49 mata, di belakang Xiaojun Xiang dari China yang meraih kedudukan kelapan, yang merupakan slot kelayakan terakhir ke final.
Dalam acara Street pula, Ian meraih tempat ke-12 dengan markah keseluruhan 17.8 mata dalam kalangan 18 peserta, sekali gus gagal mara ke final dalam acara berkenaan yang ditangguhkan lebih tiga jam berikutan hujan lebat.
“Saya sedikit pun tidak rasa takut pada hari ini kerana sudah biasa berlatih bersama ‘orang besar’. Saya bangga menjadi atlet paling muda, saya lihat saya paling kecil di sini.
“Tetapi terkilan tidak dapat masuk final. Cuaca pun sedikit mengganggu. Tapi okay sebab bukan menduduki tempat terakhir dan dapat belajar kemahiran baharu daripada atlet lain,” katanya selepas acara itu tamat.
Seorang lagi wakil negara dalam acara Street, Yaziru Amiru Basyir Zainordin, 24, meraih slot kelayakan terakhir (tempat kelapan) acara itu, selepas mencatat 21.8 mata untuk mara ke aksi final esok.
Cabaran negara dalam sukan ekstrem itu, akan turut diteruskan dalam kategori wanita menerusi Fatin Syahirah Roszizi, 16, dalam acara final Street, dan Christina Lai Grace, 13, dalam acara final Park di venue yang sama, esok.
Sukan papan selaju buat pertama kali dipertandingkan pada Sukan Asia kali ini, dan bakal diperkenalkan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. – BERNAMA