SYDNEY – Kerajaan Australia hari ini melarang firma telekomunikasi terkenal China, Huawei Technologies Co Ltd (Huawei) daripada membekalkan peralatan untuk rangkaian mudah alih 5G, memetik risiko campur tangan asing.
Pembabitan Huawei dalam pelancaran rangkaian itu dan penolakan daripada agensi keselamatan Australia menjadi punca ketegangan dua rakan dagang terbabit sejak beberapa bulan lalu ketika pertikaian berhubung dakwaan campur tangan China dalam politik Australia semakin mendalam.
Pendirian Australia menyamai kedudukan Amerika Syarikat (AS) yang menolak Huawei daripada pasaran lumayan negara itu berhubung kebimbangan keselamatan negara.
Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, pembekal yang ‘kemungkinan menjadi topik hala tuju di luar undang-undang daripada sebuah kerajaan asing’ perlu meninggalkan rangkaian Australia yang terdedah kepada akses atau campur tangan tidak diluluskan.
Kenyataan itu tidak menamakan secara khusus firma China terbabit, namun seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, arahan itu menyasarkan Huawei dan menghalang pembabitannya dalam rangkaian berkenaan.
Cawangan Huawei Australia, yang menafikan sekeras-kerasnya ia dikawal Beijing berkata di Twitter hari ini, tindakan itu ‘satu keputusan amat mengecewakan untuk pelanggan.’
Seperti mana rakan sejawatannya dari AS, pihak berkuasa keselamatan Australia selama berbulan bimbang, hubungan Huawei dengan kerajaan China membuka kemungkinan peralatan digunakannya mungkin digunakan untuk melakukan intipan, namun sebaliknya dinafikan syarikat.
Huawei, pembuat peralatan rangkaian telekomunikasi terbesar dan pembekal telefon pintar ketiga dunia menawarkan Canberra peralatan rangkaian lengkap 5G, yang termasuk stesen pangkalan, menara dan peralatan transmisi radio. – Reuters/BH ONLINE