TONGOD – Tindakan pantas seorang bapa memukul seekor beruang menggunakan batang kayu menyelamatkan anak lelakinya daripada menjadi mangsa serangan binatang itu di Kampung Entilibon, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang juga seorang pesara guru, Jackson Yongki, 58, bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 15 dan 17 tahun berada di sawah padi sebelum binatang itu cuba menyerang.
Katanya, kehadiran beruang itu yang cuba menerkam anaknya disedari seorang anak lelakinya sebelum dia memukul beruang dengan kayu yang kebetulan berada di tangannya untuk menanam padi.
Selepas itu, katanya, mereka cuba melarikan diri, tetapi kaki kanannya terbenam dalam lumpur sawah menyebabkannya terjatuh sebelum digigit beruang.
“Selepas kaki kiri saya digigit, beruang berkenaan masuk ke hutan berhampiran kampung. Syukurlah, cuma cedera pada kaki.
“Kami sedar beruang adalah binatang dilindungi dan sudah tentu tak mahu ia dibunuh sebab hidupan ini sangat jarang ditemui.
“Kami cuma berharap pihak bertanggungjawab dapat menangkap segera beruang daripada terus berada dalam kawasan kampung,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini.
Jackson berkata, dia menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Kampung Entilibon susulan kecederaan pada kaki.
Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin, berkata sepasukan anggota Jabatan Hidupan Liar Sandakan, Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) dan Unit Beruang Sepilok bergegas ke lokasi berkenaan sebaik menerima laporan.
Katanya, mereka kini dalam usaha mengesan beruang di kawasan sawah penduduk kampung.
“Berdasarkan maklumat, hanya ada seekor beruang yang berada di kawasan sekitar kampung. Kita percaya beruang datang dari sekitar hutan berhampiran,” katanya.
Di Sabah, beruang dilindungi sepenuhnya mengikut Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
Bagi kesalahan memiliki atau memburu beruang, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 41(1) akta berkenaan yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun. – BH Online