KUALA LUMPUR – Pelakon Nur Fazura melahirkan rasa kecewa dan marah terhadap tindakan Faezah Elai yang menjadikan bentuk tubuh badan wakilnya untuk menerima trofi sebagai bahan lawak ketika menyampaikan anugerah di Anugerah Telenovela 2018 pada Sabtu lalu.
Menurut pelakon yang menang besar dalam kategori popular itu, bentuk tubuh seseorang tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak dan hal memalukan itu bukan sahaja terjadi dalam anugerah berkenaan, malah pernah berlaku dalam anugerah lain juga.
“Jika hal ini berlaku di Amerika Syarikat, rancangan berkenaan sudah pasti akan digam dan dihentikan penyiarannya, namun di sini hal sebaliknya berlaku, malah satu dewan ikut tertawa sekali.
“Sebagai selebriti, saya rasa terpanggil untuk menyuarakan hal ini bagi mewakili individu yang tidak dapat bersuara,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar Peniagawati sempena Minggu Pertunjukan Fesyen New York 2018 di sini sebentar tadi.
Tambah pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu, wanita yang mewakilinya untuk menerima trofi pada malam tersebut turut mengalami kemurungan.
Dalam pada itu, Fazura turut mengecam tindakan seorang pelawak yang memberi komen menganggap isu tersebut sekadar gurauan yang tidak sepatutnya dipandang serius.
“Wakil itu merupakan presiden kelab peminat yang sudah 10 tahun menyokong kerjaya saya. Dia sanggup meninggalkan hal keluarga untuk mewakili saya. Disebabkan hal tersebut dia mengalami kemurungan sekejap.
“Banyak lagi perkara yang boleh dijadikan bahan lawak. Sebagai pelawak, dia seharusnya mencari bahan yang lebih bernas tanpa mengaitkan dengan fizikal seseorang,” katanya.
Terdahulu, Faezah yang menyampaikan trofi kepada wakil Fazura ketika Anugerah Telenovela pada Sabtu lalu mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan bahawa tubuh wanita tersebut adalah gambaran badan Fazura selepas beranak lima. – K! ONLINE