UNIK… Lazimnya semua menteri, timbalannya serta ahli parlimen Singapura memakai kemeja dan seluar panjang warna putih semasa perbarisan Hari Kebangsaan republik itu pada setiap 9 Ogos.
Namun kali ini sempena ulang tahun ke-53 kemerdekaan Singapura, pelukis batik terkenal tempatan, Sarkasi Said diberi ‘penghargaan istimewa’ apabila pakaian batik rekaannya dijadikan pilihan ramai kenamaan negara itu.
Agensi berita tempatan, MediaCorp melaporan lebih 10 Anggota Parlimen Singapura termasuk menteri bercadang mengenakan pakaian ciptaan artis tersebut ketika hadir acara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada hari ini.
Inisiatif tersebut digerakkan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, demi mengenang tokoh batik tempatan itu. Batik merah putih khas itu, menyulamkan rekaan bunga anggerik dengan warna lambang Singapura.
Rekaan tersebut membawa ciri kesabaran, kesejahteraan dan kekuatan negara. Yang pasti, setiap baju adalah unik dan berbeza corak. Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam menggelarnya sebagai unik dan menarik.
Tidak ketinggalan Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin dalam reaksi spontannya kepada MediaCorp pula menyifatkan pakaian unik berkenaan sebagai rekaan yang “asli dan wow!”.
Manakala Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Zaqy Mohamad memberi pendapat bahawa ia “gaya asli yang melambangkan warisan tradisional seni masyarakat Melayu yang cukup lemah lembut”.
“Saya sukakannya. Ia berwarna merah dan putih, jadi ia boleh dipakai bagi banyak acara perayaan,” kongsi Chong Kee Hiong, seorang wakil rakyat bukan Melayu dari parti pemerintah di kerusi GRC Bishan-Toa Payoh.
Semua baju itu merupakan hasil kreatif dan titik peluh Sarkasi yang mereka sehingga 20 helai pakaian eksklusif tersebut malah tokoh batik tersohor berkenaan akur ia adalah satu penghargaan yang besar buat dirinya sendiri.
Apatah lagi ramai ahli parlimen memakainya pada satu-satu masa, sementelahan bagi NDP dan berkata: “Saya rasa mereka kenal akan apakah yang boleh dikembangkan dan peka tentang orang kita harus hargai hasil karya setempat.
“Ia wajar sebelum kita keluar untuk menghargai hasil orang luar.” Bagi Masagos, batik rekaa Sarkasi banyak memberi gambaran yang “sangat Singapura”‘ dan teknik-teknik beliau juga “mirip gaya orang Singapura”.
Lantaran itulah, batik Sarkasi layak dimasyhurkan sambil menambah “Kami bergembira, sekali gus bantu beliau untuk mempamerkan karya yang sangat indah, cantik dan sesuai untuk dipakai sempena rai Hari Kebangsaan.
“Saya fikir itu adalah kebanggaan kita, satu-satunya pelukis terkenal dan mapan di seluruh dunia.” Yang pasti, batik Sarkasi merentasi kaum. Secara simbolik, ia juga dipakai ramai bukan Melayu semasa upacara NDP tahun ini.
Menteri Negara Kanan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pendidikan, Chee Hong Tat berkata: “Sebagai rakan Anggota Parlimen, saya gembira melihat rakan sekerja daripada kumpulan etnik berbeza bersatu.
“Walaupun pakaian batik pada kelazimannya adalah dari budaya tradisional Melayu secara tradisi, ia adalah warisan sebahagian daripada budaya masyarakat majmuk Singapura juga sejak sekian lama.”
Dalam usianya yang mencecah 78 tahun sekarang, serta tidak lagi selincah dahulu, Sarkasi bagaimanapun melahirkan harapan agar batik dapat terus dilestarikan dan dihargai ramai rakyat Singapura.
Falsafah batik beliau akan diraikan dan dipamerkan oleh bukan calang-calang orang, tetapi oleh para pemimpin Singapura sendiri. – Agensi/Mynewshub.TV