KUALA LUMPUR – Penyanyi Amira Othman terkilan kemesraan dengan adik-beradik yang sering dipaparkan di laman sosial dituduh aksi ‘buat-buat’ atau lakonan.
Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman tidak menyangka perkongsian itu mengundang rasa kurang senang segelintir pihak terhadap dirinya.
“Sebenarnya, perkara ini sudah lama dibangkitkan sesetengah pihak. Mereka fikir saya terlalu ‘mencuba’ dalam menunjukkan kasih sayang kerana sering memeluk dan mencium adik lelaki saya, Irfan Haris.
“Padahal, secara jujurnya, bukan saja dengan Irfan, kami enam beradik memang rapat.
“Biarpun sudah besar panjang, misalnya yang lelaki sudah berjanggut dan bermisai, kami masih akrab,” katanya kepada BH Online.
Amira berkata, ibu bapa tidak pernah menghalang hubungan rapat dia dan adik-beradik lain.
“Mereka sebaliknya gembira melihat kami saling membantu. Kata orang, air yang dicincang tidak akan putus. Begitulah hubungan kekeluargaan kami yang berkongsi darah daging sama,” katanya.
Penyanyi yang tampil dengan single berjudul Mimpi Indah itu meminta orang ramai tidak membangkitkan isu bagi membangkitkan ‘cakap-cakap’ negatif.
Bercerita mengenai kerjaya nyanyian, Amira yang berhati-hati memilih karya, bakal tampil dengan single ciptaan Irfan.
“Jika diizinkan, saya berhasrat untuk tampil dengan single ciptaan Irfan. Dia lebih maklum kehendak saya dalam bidang muzik,” katanya. – BH Online