KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bukanlah tugas mudah untuk melaksana dan menyampaikan kesemua manifesto Pakatan Harapan dalam masa 100 hari oleh kerana kerajaan sekarang baru saja mengambil alih daripada pentadbiran sebelum ini.
āTugas itu sedang dilaksanakan dan ia bukanlah mudah sebab semasa kami mengambil alih, kami tidak mempunyai cukup maklumat untuk mengetahui betapa besarnya masalah yang ada.
āSaya bukan memberi alasan, kami tahu bahawa kami tidak seharusnya berhenti berdasarkan hakikat bahawa kami tidak mencapai sasaran. Namun begitu, kami berusaha,ā katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari sebagai respons kepada janji 100 hari Pakatan Harapan dengan tempoh 100 hari itu berakhir Sabtu ini.
Beliau berkata walaupun proses menunaikan manifesto itu tidak berjalan lancar seperti diharapkan, namun kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan 10 manifesto yang dijanjikan itu.
Malah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata kementerian berkenaan berjaya melaksanakan satu daripada manifesto PH iaitu Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) yang telah dilancarkan semalam.
Antara 10 janji 100 hari PH adalah mengembalikan semula subsidi minyak secara bersasar; menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi individu berpendapatan bawah RM4,000; menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda dan menyamaratakan gaji minimum.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong berkata pencapaian 100 hari itu bukan terletak kepada dasar-dasar terperinci, sebaliknya hala tuju negara secara menyeluruh yang telah diterima rakyat.
Setakat ini, katanya kerajaan telah berjaya membawa pembaharuan institusi kerajaan, ekonomi yang memihak kepada rakyat dan menggambarkan identiti bangsa Malaysia.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata PH berdepan cabaran untuk mencapai sasaran tertentu, bagaimanapun gabungan itu telah membuktikan bahawa mereka berupaya untuk memerintah dan melakukan peralihan yang aman daripada kerajaan terdahulu.
āKami lebih telus dan lebih responsif kepada sentimen umum, kami akan terus memerintah secara telus. Mana-mana parti yang memerintah pun berharap untuk memerintah selama mana yang boleh tetapi perlu diingat bahawa kami perlu berlaku adil, terus bersikap bersih, amanah untuk meraih sokongan rakyat sebab mandat itu diberi oleh rakyat. Kami mesti melaksanakannya,ā katanya. – BERNAMAāāāāāāā