JAKARTA – Cabaran skuad hoki wanita negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 berakhir setelah tewas 1-3 kepada Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A di Padang Hoki Gelora Bung Karno di sini, malam ini.
Kekalahan itu menyaksikan skuad Malaysian Tigress gagal ke separuh akhir setelah menduduki tangga ketiga kumpulan tersebut di belakang Jepun dan China.
Pada aksi berkenaan, Jepun berjaya mendahului 1-0 pada babak pertama perlawanan hasil gol padang Mami Karino pada minit ke-21.
Bersambung separuh masa kedua perlawanan, Jepun kembali menggandakan asakan dan berjaya meledak gol kedua menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Hazuki Nagai pada minit ke-37.
Malaysia, bagaimanapun, berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi gol padang Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-46, namun Hazuki memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Jepun setelah menjaringkan gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti, selang tiga minit kemudian.
Untuk rekod, Malaysia mencatat dua kemenangan dengan membenam Hong Kong 8-0, 11-0 ke atas Taiwan, namun seri 2-2 berdepan China pada aksi ketiga Kumpulan A.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, China mencatat kemenangan bergaya 15-0 ke atas Hong Kong.
Jepun dijadual berdepan naib juara Kumpulan B, Korea Selatan yang merupakan juara bertahan manakala juara Kumpulan B, India bakal membuat perhitungan dengan China pada aksi separuh akhir, Rabu ini.
Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B, layak ke peringkat separuh akhir. – BERNAMA