KUALA LUMPUR – Kerajaan kemungkinan akan meneruskan usaha untuk memperkenalkan cukai soda ke atas minuman berkarbonat bagi menampung hasil kerjaan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, menerusi cukai berkenaan kerajaan akan memberi mesej kepada rakyat bahawa pengambilan berlebihan minuman itu akan memberi kesan terhadap kesihatan.
“Kita akan lihat semula dan sekiranya perkara itu menarik dan berbaloi kerajaan akan teruskan.
“Langkah itu tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah (B40) malah dapat menggalakkan kehidupan yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Bandaraya 4.0 ‘Membina Bandar Pintar dan Digital’ di sini hari ini.
Jelas Dr. Mahathir, perkara itu akan dibuat diteliti secara terperinci termasuk membuat kajian ke atas pelaksanaan cukai itu nanti.
“Kita akan memberitahu keputusan itu nanti selepas kajin keseluruhan dibuat bagi memastikan benar-benar memberikan kesan yang menyeluruh,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE