LAHAD DATU – Usaha Lembaga Pelancongan Sabah melaksanakan ceramah kesedaran berkaitan pelancongan mapan berasaskan komuniti (CBT) berjaya mengangkat sektor pelancongan luar bandar di Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assafal P Alian berkata hasil ceramah anjuran bahagian produk lembaga pelancongan sejak 2013 itu wujud persatuan pelancongan seperti di Kiulu, Kadamaian dan Kota Marudu.
Selain itu, ia turut dapat menarik tumpuan pelancong seluruh dunia ke kawasan luar bandar di Sabah, khususnya pelancong dari Eropah.
“Inilah peluang yang harus direbut penduduk luar bandar untuk menghasilkan produk seperti kraftangan unik atau yang boleh menjana ekonomi,” katanya selepas merasmikan ceramah kesedaran pelancongan luar bandar di Kampung Tambisan di Tungku dekat sini.
Bagaimanapun Assafal turut mengingatkan kepada semua pihak agar tidak hanya mengaut keuntungan semata tetapi mengambil kira aspek keseimbangan dari segi ekonomi, masyarakat dan alam sekitar yang dikenali sebagai ‘tanggungjawab pelancongan’.
“Saya diberi mandat untuk memastikan tiga perkara iaitu pelancongan, kebudayaan serta alam sekitar dijaga dan digalas dengan baik,” katanya.
Sementara itu, beliau percaya Tambisan yang dikelilingi kawasan bakau dengan pelbagai spesis hidupan flora dan fauna mampu menjadi tarikan sebagai destinasi pelancongan baharu. – BERNAMA