KERAJAAN bercadang mengenakan “cukai soda” terhadap minuman ringan yang mengandungi gula yang banyak.
Menurut Tony Pua, penasihat di Kementerian Kewangan, dengan cukai ini, orang miskin yang kurang kemampuan boleh mengurangkan minum minuman soda.
Selain untuk meningkatkan hasil cukai yang meosot begitu banyak selepas cukai barangan dan perkhidmatan dimansuhkan, dikatakan tujuannya berkaitan dengan kesihatan.
Tiba-tiba, Menteri Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengumumkan harga gula akan turun bermula 1 September.
Keputusan ini diumumkan pada hari yang sama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan melaksanakan cukai soda.
Mahathir mengulangi alasan demi kesihatan rakyat Malaysia apabila mengumumkan akan mengenakan cukai minuman soda ini.
Penurunan harga gula ini berikutan langkah kerajaan menurunkan harga siling sebanyak 10 sen sekilogram.
Menteri ini juga menggunakan alasan yang dikaitkan dengan kos sara hidup.
Katanya, kenaikan harga gula telah meningkatkan harga beberapa barangan.
Agak mengejutkan, katanya penurunan ini nanti boleh menyebabkan penurunan harga sesetengah barangan, katanya kerana kesan berangkai.
Penurunan ini berkuat kuasa pada 1 September, hari yang sama cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mula dilaksanakan.
Pemerhati dan pihak industri sendiri berpendapat harga barangan bakal naik selepas SST dilaksanakan nanti.
Soalnya, dari manakah menteri dapat formula penurunan harga gula akan menghasilkan kesan berangkai menurunkan harga barangan makanan?
Selepas GST dimansuhkan, barangan hanya turun harga sediki sahaja, dan masih terlalu banyak yang kekal pada harga lama dan tidak kurang juga yang telah dinaikkan menjelang pilihan raya.
Penurunan harga gula ini amat mengejutkan pada masa yang sama kerajaan mengumumkan akan mengenakan cukai soda.
Cukai soda diberikan alasan kesihatan, yang sebenarnya yang lebih terpakai pada gula yang merupakan bahan menjejaskan kesihatan yang utama dalam minuman soda.
Diharapkan penurunan harga gula ini bukan bertujuan meningkatkan kembali jualan gula untuk membantu kroni. – Mynewshub.tv