BIDAS… Pemimpin DAP, Lim Kit Siang diingatkan agar tidak perlu membuat ulasan songsang berkaitan hubungan persefahaman harmoni yang berlaku antara UMNO dan PAS ketika ini.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika mengingatkan perkara itu berkata, dalam hal ini beliau menerangkan berkaitan kerjasama antara parti politik yang membabitkan empat tahap berbeza.
“Tahap satu, bersetuju untuk tidak berlawan, tapi ia terhad kepada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) tertentu. Beri laluan bertanding tapi tidak atau belum lagi bersama.
“Tahap dua, bersetuju untuk beri laluan dan memberi kerjasama satu dengan yang lain, tapi kerjasama itu masih terhad kepada isu atau kes tertentu yang dalam ajaran Islam disebut Taa’wun.
“Tahap tiga, bersetuju untuk bersama dalam satu gagasan, malah berkongsi jentera, pentas dan bekerjasama secara langsung, tapi masih lagi dengan lambang dan manifesto sendiri,” kata Annuar lagi.
Terang beliau, tahap empat ialah bersetuju dalam satu muafakat antara parti berbeza sehingga boleh berkongsi jentera dengan menggunakan satu logo dan satu manifesto bersama.
“DAP, PKR, PAN, PPBM ketika ini berada di tahap empat… namun UMNO dan PAS semasa PRK DUN Sungai Kandis baru-baru ini sudah pun berada di tahap satu….
“Mungkin di (PRK DUN) Seri Setia kita cuba di tahap dua… jadi Lim Kit Siang tak perlu sibuk buat ulasan songsang, kita (UMNO dan PAS) belum lagi sampai tahap empat.
“YB rileks je… jangan lari,” kata Annuar lagi dalam nada sindiran terhadap ‘otai’ DAP itu yang dipetik menerusi laman sosial Facebooknya hari ini. – Agensi/Mynewshub.TV