PETALING JAYA – Setelah laman sosial dibanjiri video-video tarian Kiki Challenge, kini timbul pula satu lagi trend baharu yang dinamakan Dele Challenge.
Cabaran itu mula tular dan menjadi ikutan ramai setelah ia dilakukan oleh pemain bola sepak pasukan Tottenham Hotspurs, Dele Alli sewaktu meraikan jaringan gol dalam satu perlawanan baru-baru ini.
Ia kini bukan sahaja menjadi kegilaan pelayar media sosial di negara luar, malah turut melanda warga maya di negara ini.
Namun, setakat ini foto Dele Challenge seorang remaja lelaki yang agak luar biasa dilihat paling mencuri tumpuan sehingga ada sesetengah netizen yang mempertikaikan kebolehannya itu.
Anak muda berkenaan, Fathi Anwar, 23, ketika dihubungi mStar Online mengakui tidak menyangka foto yang dirakam secara suka-suka itu kini menjadi tular dan menarik perhatian ramai.
“Ada kawan hantar gambar Dele Challenge yang asal, saya pun cuba tiru. Tak sangka ia terus menjadi dengan sekali percubaan sahaja,” katanya.
Selepas itu Fathi bertindak memuat naik dua gambar ‘seni jari’ versinya sendiri yang lebih mencabar dengan menulis ‘RIP Dele Alli Challenge’ di Twitter pada Selasa.
“Selepas mereka tengok gambar tu, kawan saya bergurau cakap mungkin jari saya cacat, sebab tu boleh buat.
“Saya pun tak tahu saya boleh buat macam tu, ia mungkin senang jika memiliki jari yang lembut dan lentik,” ujar Fathi.
Foto berkenaan pada mulanya sekadar dikongsi menerusi group WhatsApp sebelum dimuat naik ke laman Twitter sehingga menerima lebih 6,000 ulang kicau (Retweet) sejak Selasa lalu. – Mstar