KUALA LUMPUR – Satu ketika dahulu projek Perwaja Steel pernah menjadi projek kebanggaan Perdana Menteri ke-4 untuk masyarakat Pantai Timur negara.
Bekas Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Berkata, projek itu bagaimanapun cuma tinggal kenangan buat masyarakat Pantai Timur.
Menurut beliau, penduduk masyarakat Pantai Timur kemudian mendapat harapan baru iaitu projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Malangnya, projek itu juga kini tinggal kenangan disebabkan oleh Perdana Menteri ke-7 pula.
“Perwaja Steel adalah antara projek kebanggaan PM ke-4 untuk orang Pantai Timur. Kini ia tinggal kenangan. Bagi orang Pantai Timur, ECRL jadi harapan baru. Kini ia juga jadi kenangan,” sindirnya di Facebook.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dua hari lalu mengumumkan projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dengan kerjasama kerajaan China bernilai berbilion ringgit dibatalkan.
Beliau mendakwa projek terbabit membabitkan peruntukan wang yang besar, dan Malaysia tidak terlalu memerlukannya pada masa ini berikutan kedudukan kewangan negara.
ECRL projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 km yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, yang dilancarkan tahun lepas, dijadual siap pada 2024.
Manakala, TSGP yang meliputi pemasangan saluran paip gas sepanjang 662 km dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau, melibatkan kos RM4 bilion.
Perlaksanaan kedua-dua projek itu digantung sejak Julai lepas oleh kerajaan “Malaysia Baharu” selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14. – MYNEWSHUB.TV