SETIU – Seekor gajah jantan liar berusia 10 tahun yang berkeliaran merosakkan tanaman penduduk kampung berjaya dipindahkan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Pelong, dekat sini, hari ini.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Rahmah Ilias yang mengetuai operasi itu berkata haiwan seberat 1 tan berkenaan berjaya dipindahkan menggunakan khidmat dua ekor gajah denak betina, Abot dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Temerloh, Pahang.
“Operasi melibatkan 20 kakitangan Perhilitan dijalankan bermula 1 Ogos lalu selepas mendapat aduan daripada penduduk kampung mengenai tanaman mereka berdekatan Hutan Simpan Bukit Kesing dirosakkan gajah berkenaan…dan akhirnya pada 2 Ogos gajah jantan itu berjaya ditangkap.
“Perhilitan kemudian mengambil keputusan menggunakan gajah denak Abot dan Rambai bagi membantu operasi memindahkan gajah liar itu ke hutan Taman Negara Tasik Kenyir,” katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir di Kampung Pelong, di sini hari ini.
Katanya, operasi bermula 8 pagi dan berakhir 1 tengah hari itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang kemalangan atau insiden yang tidak diingini.
Rahmah berkata Perhilitan Terengganu setakat ini menerima 10 aduan melibatkan serangan gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk kampung di sekitar daerah Kemaman, Dungun dan Setiu manakala operasi hari ini adalah operasi pemindahan gajah liar yang pertama dilaksanakan pada tahun ini.
Sementara itu Pengerusi Majlis Keselamatan Komuniti Kampung Pelong, Yahya Matzin, 55, mengucapkan penghargaan kepada Perhilitan yang berjaya menyelesaikan masalah serangan gajah liar yang menghantui penduduk kampung berkenaan sejak sekian lama.
“Lebih 10 tahun tanaman penduduk kampung seperti ladang kelapa sawit, rambutan, duku dan durian melibatkan kerugian ribuan ringgit dirosakkan haiwan berkenaan,” kata Yahya.
Sebagai wakil penduduk kampung beliau terima kasih kepada pihak Perhilitan dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya jika situasi ini berulang pada masa depan. – BERNAMA