SERANGAN udara bersiri terbaru Zionis ke atas Gaza telah meragut nyawa tiga orang warga Palestin, termasuk seorang wanita dan kanak-kanak.
Tiga warga Palestin dilaporkan terbunuh, termasuk seorang wanita yang mengandung dan anak perempuannya berusia satu tahun.
Seorang lagi yang dilaporkan terbunuh ialah anggota Hamas, kata pegawai kesihatan.
Media Israel melaporkan wilayan Israel diserang roket yang didakwa datang dari wilayah Palestin.
Serangan udara Israel ini dijalankan pada masa satu gencatan senjata jangka panjang antara Israel dan Hamas sedang dirunding.
Pasukan tentera Israel mendakwa keganasan tercetus selepas pihak Hamas menembak sebuah kenderaan mereka yang memasuki Gaza.
Israel memulakan serangan dengan tembakan dari kereta kebal, yang dibalas Hamas dengan serangan roket pada malam Rabu.
Sayap ketenteraan Hamas mengaku bertanggungjawab atas serangan roket itu.
Awal minggu ini, dua orang anggota Hamas dibunuh Israel yang mengebom kawasan sempadan.
Tentera Israel menulis di Twitter mengatakan jet-jet pejuangnya telah mensasarkan lebih 140 lokasi strategik, termasuk kedudukan fasiliti membina dan menyimpan senjata.
Gaza masih berdepan masalah kemanusiaan yang teruk sejak dikepung oleh Israel dengan bantuan Mesir bermula 2006.
Ekoran beberapa pertempuran antara Hamas di Gaza dengan tentera Israel, sekatan ke atas Gaza diketatkan lagi, di samping usaha memusnahkan terowong menyeludup barangan keperluan dilakukan oleh Zionis. – Agensi/Mynewshub.tv