KUANTAN – Pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas terhadap pemilik premis perniagaan yang terlibat dalam perjudian haram, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Semambu, Lee Chean Chung.
Menurutnya, tindakan mengeluarkan saman atau menyita premis perniagaan terbabit perlu dilakukan memandangkan mereka berani melakukan kesalahan secara terang-terangan.
“Malah kami dimaklumkan terdapat beberapa pusat perjudian yang diserbu pihak berkuasa pada waktu pagi beroperasi semula pada waktu petang pada hari yang sama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Lee menambah terdapat juga pemilik premis yang menyewakan kedai untuk dijadikan sebagai premis perjudian, namun di atas kontrak sewa, mendakwa premis itu digunakan sebagai kafe siber bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kami menerima 20 aduan berkaitan perkara ini dalam tempoh dua bulan bermula Jun melibatkan pusat judi di sekitar daerah ini. Semua aduan ini telah diajukan kepada pihak berkuasa dan kami telah bertemu dengan Ketua Polis Pahang (Datuk Seri Rosli Ab Rahman) pada 10 Julai lalu,” katanya.
Katanya daripada maklum balas Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), beliau diberitahu pihak tersebut sering melakukan tindakan mengenakan kompaun, notis amaran dan sitaan ke atas premis yang didapati melakukan kegiatan haram itu. – BERNAMA