PUTRAJAYA – Hari Kebangsaan 2018 yang disambut hari ini menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia dalam menzahirkan semangat patriotisme dan kepentingan perpaduan demi kesejahteraan negara.
Hari Kebangsaan 2018 yang tiba di kemuncaknya dengan acara perbarisan dan perarakan di Putrajaya hari ini, menampilkan empat komponen yang senada dengan tema sambutan “Sayangi Malaysiaku” iaitu kenegaraan; ketenteraman awam; keselamatan negara dan rakyat bersepadu.
Sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dataran Putrajaya, majlis yang disaksikan jutaan rakyat melalui kehadiran di lokasi serta tontonan siaran langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, dimulakan dengan nyanyian lagu keramat Negaraku dan disusuli bacaan ikrar Rukun Negara.
Deruan helikopter di ruang udara Putrajaya kedengaran apabila lima buah helikopter iaitu dua EC 725 AP dan sebuah Sikorsky S61A-4 Nuri, masing-masing milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah Augusta 109 milik Tentera Darat Malaysia (TDM) dan sebuah Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat lintas hormat kepada Seri Paduka.
Tembakan kehormatan 14 das, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, yang dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja, mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang ketika nyanyian lagu Negaraku diperdengarkan.
Turut hadir menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2018 itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta perwakilan asing.
Sambutan kali ini mencatat sejarah kerana ia signifikan bagi meraikan pemerintahan kerajaan Persekutuan, yang kini diterajui Pakatan Harapan, dan tonggak pemerintahan baharu itu dipimpin Dr Mahathir yang kembali menerajui kerajaan pada usia 93 tahun.
Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2018, selepas 13 tahun pernah menjadi tuan rumah, juga istimewa kerana Dr Mahathir merupakan insan yang mengilhamkan pembangunan kawasan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Prang Besar, menjadi pusat pentadbiran negara pada 1995.
Kali terakhir acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya ialah pada 2005.
Pengunjung yang dianggarkan seramai 300,000 orang mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal 5 pagi dengan memeriahkan suasana dengan membawa Jalur Gemilang sendiri untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan hari kebangsaan itu.
Majlis pembacaan ikrar Rukun Negara melibatkan 50 pelajar termasuk dua pelajar orang kurang upaya (OKU) diketuai Muhammad Aiman Shafiq Mohd Shah Noor Yong dari Maktab Tentera DiRaja,Kem Sungai Besi Kuala Lumpur.
Laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang juga diketuai Muhammad Aiman Shafiq turut bergema di Dataran Putrajaya.
Turut menarik tumpuan ialah persembahan khas Sayangi Malaysiaku, yang memaparkan persembahan pelbagai komuniti melalui penyertaan 600 golongan muda daripada kumpulan kesenian.
Mendahului acara perbarisan dan perarakan ialah kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 80 kaki x 40 kaki yang dibawa oleh seramai 60 orang.
Ia disusuli dengan perarakan 660 pembawa Jalur Gemilang dan 1,340 pembawa bendera negeri serta bendera berwarna.
Sepanjang acara berlangsung, suasana dimeriahkan dengan alunan irama daripada pancaragam gabungan pasukan beruniform seramai 524 anggota.
Perarakan turut disertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang diketuai Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang melibatkan 133 peserta dan 38 motosikal berkuasa tinggi serta 20 kenderaan.
Konvoi tersebut, yang dilancarkan Dr Mahathir pada 4 Ogos di Padang Kota Lama, Pulau Pinang bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018, telah menjelajah 61 destinasi di Malaysia membabitkan jarak keseluruhan 6,100 kilometer, menandakan 61 tahun negara merdeka.
Kontinjen Sayangi Malaysiaku, yang menggambarkan Malaysia terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian, harmoni dan bersatu, turut disertai atlet negara dan golongan orang kurang upaya.
Perarakan turut diserikan dengan kehadiran perbarisan peserta industri penerbangan yang diwakili Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air termasuk anak-anak kapal yang mengenakan busana syarikat penerbangan masing-masing, menjadi tarikan umum sehingga mendapat sorakan gemuruh hadirin.
Segmen ketenteraman awam melibatkan kontinjen agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.
Pada segmen Keselamatan Negara, kontinjen yang terlibat dalam perarakan ialah daripada tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu darat, laut dan udara serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Turut dipertontonkan ialah aset-aset agensi keselamatan yang terlibat.
Antara aset yang menjadi tarikan ialah penampilan kereta kebal Pendekar yang dilengkapi sistem pensenjataan iaitu 125MM ‘Gun’ dan mempunyai pertahanan reaktif armor.
Penampilan kenderaan pembawa misil milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut menarik perhatian.
Yang di-Pertuan Agong turut memberikan tabik hormat apabila kontinjen Tentera Darat 1 dan Tentera Darat 2 melintasi pentas utama.
Helikopter kontinjen keselamatan negara dan ketenteraman awam yang terdiri daripada tentera udara, tentera laut, polis dan APMM turut membuat lintas udara.
Formasi 61 oleh 16 pesawat Pilatus PC-7 Mark III bersempena kemerdekaan ke-61 turut menghiasi ruang udara Putrajaya.
Ruang udara Putrajaya juga digegarkan dengan aksi akrobatik pesawat pejuang TUDM.
Pesawat-pesawat terlibat ialah Hawk 108/208, F/A 18-D Hornet dan Sukhoi SU-30MKM.
Acara diakhiri dengan komponen rakyat bersepadu melibatkan persembahan khas yang mencerminkan kepelbagaian kesatuan bangsa Malaysia yang berlangsung dengan penuh warna-warni.
Seramai 12,295 orang dan sejumlah 475 aset terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan hari ini. – BERNAMA