Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Masa Kerja Fleksibel Atasi...

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA) patut digalakkan di organisasi di...

Diana Danielle Sudah Berhijrah...

Kalau korang ada mengikuti Instagram ibu muda cantik ini, anda pasti perasan Diana...

RUU 355: Luahan Rafizi...

IBARAT lain diharap, lain pula yang dapat... Kuasa rakyat yang sering dijaja PKR...

Pekerja Pub Ditahan Miliki...

MIRI - Seorang pekerja pub di Bintulu berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan...

Hari Kebangsaan Disambut Penuh Patriotik Di Seluruh Negara

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 dimeriahkan dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum yang menunjukkan semangat sayangkan Malaysia di lokasi sambutan di seluruh negara.

Selain sambutan gilang-gemilang di Dataran Putrajaya bertemakan “Sayangi Malaysiaku”, negeri-negeri turut mengadakan program sambutan Hari Kebangsaan yang dihadiri kepimpinan negeri selain acara yang diadakan menarik perhatian pelancong asing.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyertai lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran Ipoh.

Sebanyak 107 kontinjen melibatkan 5,703 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai acara perbarisan dan perarakan.

Di KEDAH, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang berlangsung di Dataran Medan Bandar.

Sebanyak 89 kontinjen melibatkan hampir 3,000 peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan NGO menyertai perarakan dan perbarisan yang disaksikan lebih 5,000 hadirin.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban.

Sambutan yang dimulakan dengan upacara memeriksa kawalan kehormat perbarisan oleh Tuanku Muhriz dan nyanyian lagu Negaraku disusuli dengan perarakan daripada 5,789 peserta mewakili 94 kontinjen.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Adly Zahari dan barisan exco kerajaan negeri bersama kira-kira 5,000 rakyat tempatan serta pelancong asing menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir.

Seramai 9,884 peserta melibatkan 196 kontinjen menyertai perarakan yang dimeriahkan dengan pakaian berwarna-warni serta alunan muzik kumpulan pancaragam yang mengambil bahagian.

Di PULAU PINANG, kira-kira 10,000 peserta mewakili 120 kontinjen menyertai perarakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Kota Lama.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta Ketua Menteri Chow Kon Yeow turut menghadiri sambutan itu bersama lebih 7,000 pengunjung berbilang bangsa.

Di KELANTAN, acara sambutan mempamerkan kelainan dengan persembahan gendang 24 musim oleh 24 pelajar yang memukau para penonton pada Sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di Mini Stadium Pasir Mas.

Selain itu, ketangkasan 61 anggota tentera dari Kor Polis Tentera Briged Kelapan Infantri dalam aksi tempur tanpa senjata turut mengagumkan hadirin.

Sebanyak 62 kontinjen dengan 2,500 peserta mengambil bahagian memeriahkan perarakan sambutan tersebut.


Di TERENGGANU, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan adinda, Tengku Nadhirah Zahrah berkenan berangkat ke acara perarakan sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Sebanyak 84 kontinjen melibatkan 3,903 peserta mengambil bahagian dalam acara perbarisan sambutan berkenaan.

Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Kuala Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan perbarisan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 serta piala pusingan.

Di Miri, SARAWAK, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri diraikan secara sederhana di sebuah hotel dengan dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri negeri, ketua jabatan kerajaan, ketua kaum serta lebih 500 hadirin.

Persembahan tarian kebudayaan melibatkan seramai 30 penari turut menyerikan majlis tersebut dengan motif persembahan tarian mengenai keunikan dan kepelbagaian budaya di negara ini selain tayangan video mengenai makna serta harapan hari kemerdekaan rakyat pelbagai bangsa di negeri itu.

Di PAHANG, sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1) disambut meriah dengan kehadiran Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah serta kira-kira 15,000 rakyat pelbagai kaum.

Sebanyak 86 kontinjen dengan 4,313 peserta menyertai perarakan yang turut menampilkan kenderaan perisai Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) termasuk jenis PT91 Pendekar selain enam pesawat Sukhoi SU-30MKM dari 11 Skuadron Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu.

Tengku Abdullah turut berkenan menyampaikan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Sukma negeri yang akan menggalas cabaran pada kejohanan sukan itu di Perak, bulan depan.

Di SABAH, lebih 10,000 hadirin memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan anggota kabinet negeri.

Sebanyak 149 kontinjen menyertai perarakan yang turut diserikan persembahan lintas hormat udara oleh pesawat tempur jenis Hawk 208 TUDM.

Di JOHOR, lebih 5,000 pengunjung hadir sejak 6.30 pagi bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di Dataran Tanjung Emas, Muar.

Sebanyak 132 kontinjen melibatkan 5,000 peserta menyertai perbarisan yang turut mempamerkan aset milik pasukan keselamatan negara serta perarakan kenderaan oleh Kelab Kereta Mewah dan motosikal antik.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dalam ucapannya mengingatkan semua pihak supaya memelihara keutuhan perpaduan bagi membolehkan kerajaan terus berupaya mewujudkan keseimbangan ekonomi dan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat. – BERNAMA

Kategori