Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Pampasan Tol: Dulu Kutuk...

SINDIR... Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama...

Soal Kelulusan Operasi, Tanya...

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta persoalan...

Jauhi Rasuah, Salah Guna...

ALOR SETAR - Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan para pentadbir...

Khalid Sahkan Terima Surat...

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad hari ini mengesahkan telah menerima...

Hari Kebangsaan Rai Kemenangan Rakyat

KUALA LUMPUR – Perubahan landskap politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu yang menyaksikan penubuhan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), turut memberi harapan dan masa depan baharu kepada Malaysia, kata pakar akademik dan penganalisis politik negara.

Justeru, kata mereka, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan lebih bermakna berikutan “kemenangan rakyat” itu.

Namun, ia tidak harus terhenti setakat itu sahaja kerana rakyat perlu pula menjadi pemantau keberkesanan dasar dan corak kepimpinan kerajaan yang baharu agar ia mampu menjelmakan aspirasi untuk meningkatkan lagi nilai perpaduan dan kesejahteraan kaum yang lebih mantap demi masa depan Malaysia yang lebih baik, kata mereka.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ahmad Farami Abdul Karim berkata mesej yang dilontarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Ahad lalu antara lain merujuk kepada satu perubahan yang membebaskan rakyat daripada keadaan yang membelenggu kemajuan serta maslahah sosial.

“Mesej itu juga membawa maksud negara bagai dipulangkan semula kepada rakyat. Demokrasi menjadi lebih bermakna dengan adanya pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat. Ini memaknakan kemerdekaan kali ini, kerana konteksnya adalah kedaulatan rakyat,” katanya.

Sewaktu berucap pada majlis pelancaran yang diadakan di Pulau Pinang itu, Dr Mahathir menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna selepas rakyat berjaya membebaskan diri daripada pentadbiran kerajaan terdahulu tanpa rusuhan yang menunjukkan Malaysia adalah antara bumi bertuah yang aman.

“Sambutan kemerdekaan kita lebih bermakna kerana kita bukan sahaja merayakan kebebasan daripada kuasa penjajah tetapi juga daripada pemerintahan kuku besi dan kleptokrasi kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Ahmad Farami berkata mesej sempena sambutan kemerdekaan daripada Dr Mahathir itu mampu membawa perubahan besar daripada segi membina semangat dan moral rakyat serta menyegarkan patriotisme mereka.

Jelasnya, rakyat menyambut kemerdekaan kali ini dengan penuh kesedaran tentang sumbangan mereka dalam pembinaan Malaysia baharu, di samping tanggungjawab memelihara negara.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie berkata sambutan kemerdekaan pastinya penuh bermakna kerana rakyat menolak kerajaan kleptokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan memilih kerajaan Pakatan Harapan.

“Mesej Tun Dr Mahathir cukup signifikan dan sudah tentu akan membawa perubahan besar kepada rakyat dan negara. Rakyat menolak pemimpin yang melakukan rasuah demi kebaikan negara.

“Harapan rakyat terhadap kerajaan baharu cukup besar dan kerajaan kini dilihat sedang membantu rakyat untuk berhadapan kos sara hidup dengan memberikan Bantuan Sara Hidup kepada golongan yang memerlukan. Rakyat disarankan untuk menyokong dasar kerajaan demi masa depan yang lebih makmur,” katanya.


Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata sambutan kemerdekaan sebenarnya boleh digunakan sebagai penyatuan terutama sekali setelah melalui proses PRU14.

Menurutnya, mesej kemerdekaan adalah ia harus disambut oleh semua rakyat tidak kira apa keputusan yang dibuat semasa PRU14 kerana sambutan kemerdekaan melampaui ideologi politik, yang harus dilupakan sewaktu sambutan tersebut dan diraikan tanpa ada yang berasa tersisih.

Bergerak ke depan, Azmi berkata isu utama yang dihadapi dalam menyambut hari kemerdekaan tahun ini adalah kos sara hidup yang semakin meningkat dan pastinya sambutan kali ini lebih bermakna jika strategi menangani kos sara hidup dapat dirasai faedahnya oleh setiap peringkat masyarakat.

“Pada ketika ini manfaat penurunan kos sara hidup belum dapat dirasai sepenuhnya dan bila pengenalan cukai baharu (Cukai Jualan dan Perkhidmatan, SST) nanti mungkin manfaat yang lebih nyata dirasai.

“Dan bila ini berlaku maka benarlah apa yang diungkapkan sebagai kemerdekaan penuh makna,” katanya sambil berharap perbezaan ideologi politik tidak menjadi halangan untuk menyambut hari kemerdekaan secara bersama.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata sambutan kemerdekaan pada tahun ini sangat besar maknanya kepada rakyat kerana ia menggambarkan betapa besarnya hak dan peranan rakyat dalam menentukan corak pemerintahan yang benar-benar diingini mereka.

Katanya, ia juga memenuhi saranan dan suara-suara rakyat untuk menuntut nilai demokrasi terpimpin yang lebih cekap dan berkesan.

“Gelombang rakyat ini membuktikan bahawa peranan setiap individu menilai prestasi dan kewibawaan sesebuah kerajaan, untuk diterjemahkan dalam pengundian, supaya hasilnya dapat mendirikan kerajaan yang dapat memenuhi semua hasrat mereka,” katanya.

Beliau menarik perhatian, banyak isu dan pendekatan dasar kerajaan ketika ini yang harus diperhalusi dan memberi penekanan terhadap taraf hidup dan nilai tambah kepada kemampuan kehidupan dan sosioekonomi rakyat di negara ini.

“Saya mengharapkan sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini tidak hanya dirayakan hasil kemenangan rakyat membina kerajaan baharu selepas PRU14 tersebut, tetapi ia dijadikan sebagai pencetus dan penggerak semangat untuk semua rakyat di negara ini meneruskan momentum perjuangan bangsa dan negara tercinta dengan lebih baik dan progresif,” katanya.

Jelasnya, rakyat perlu berperanan sebagai pemantau keberkesanan dasar dan corak kepemimpinan kerajaan baharu bagi membina masa depan Malaysia yang lebih baik. – BERNAMA

Kategori