HUBUNGAN Paul Pogba dan Jose Mourinho bagai retak menanti belah apabila kedua-duanya kini kembali tidak bertegur sapa.
Malah Mourinho memberitahu Pogba supaya mengemukakan permohonan untuk berpindah jika dia mahu angkat kaki dari Old Trafford.
Mereka dilaporkan bertengkar di padang latihan minggu lalu selepas komen kontroversi Pogba selepas United menang 2-1 ke atas Leicester City, malam Jumaat lalu.
Pogba diberikan tugas selaku kapten dan tampil cemerlang pada aksi pembuka tirai kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sekali gus menutup spekulasi dia akan meninggalkan pasukan itu.
Namun Pogba dilihat seakan-akan masih tidak gembira bersama United apabila dia mengeluarkan kenyataan mengejutkan selepas pertembungan itu.
“Terdapat perkara yang saya boleh kongsi dan ada yang perlu saya rahsiakan. Jika tidak saya akan dihukum,” kata pemain kebangsaan Perancis itu.
The Sun melaporkan Mourinho kurang senang dengan kenyataan terbaharu Pogba itu.
Mourinho memberitahu Pogba jika dia ingin meninggalkan kelab itu ‘semula’ dia perlu mengemukakan permohonan untuk berhijrah ke kelab lain.
Pengendali kelahiran Portugal itu jelas merujuk kepada keputusan Pogba meninggalkan United untuk menyertai Juventus pada 2012 selepas jarang diturunkan Sir Alex Ferguson. – mStar Online