LABUAN – Sebuah syarikat ikan bilis di Labuan yang baru beroperasi tidak sampai setahun sudah mampu menjangkau pasaran barunya hingga ke Semenanjung apabila menerima tempahan kira-kira 2 tan sebulan mulai bulan hadapan (September).
Cara penangkapan tradisional tetapi berkesan yang dikenali sebagai ‘bagang’ yang ditempatkan secara strategik di perairan Labuan membantu industri perikanan baru ini menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.
Eksport hasil tangkapan laut tempatan menerusi Malindo Air adalah satu kerjasama antara sebuah syarikat tempatan, D’ Rosette Resources dan syarikat berpangkalan di Semenanjung, Masih Makmur Sdn Bhd.
Pengarah urusan D’ Rosette Resources, Raynie Mohd Din berkata, hanya ikan bilis Gred A sahaja dan yang menetapi standard kualiti tinggi dipilih sebelum dieksport kepada pembeli sedia ada di Semenanjung.
Kami berharap penerokaan baru ini memberi petanda baik kepada syarikat-syarikat perniagaan ikan bilis di sini, dan seterusnya membantu pembekal tempatan untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan pendapatan nelayan, katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, jumlahnya dijangka meningkat dalam tempoh enam bulan akan datang bergantung kepada permintaan.
Raynie berkata, kerjasama itu juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti perikanan hiliran termasuk produk yang diproses dan siap untuk dihidangkan.
“Kami juga akan mengawal cara-cara pemprosesan, kualiti, standard, pembungkusan, persembahan dan penjenamaan bagi membantu mendapatkan pasaran baru,” katanya. – BERNAMA