IRAN akan terus meningkatkan keupayaan ketenteraan dan bakal mengumumkan kejayaan membina sebuah jet pejuang baharu, ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat dan pesaing di Asia Barat meningkat.
Presiden Iran Hassan Rouhani berkata Republik Islam itu mempunyai kekuatan tentera yang selama ini menjadi penghalang AS menyerangnya.
Kata Rouhani lagi, pada masa ini AS di bawah Presiden Donald Trump semakin terpisah daripada sekutu-sekutunya sendiri.
“Kita mesti bersedia untuk menentang kuasa-kuasa tentera yang mahu merampas wilayah dan sumber kita,” kata Rouhani dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen sempena Hari Industri Pertahanan Kebangsaan.
“Kenapa AS tidak menyerang kita? Kerana kita memiliki kuasa tersendiri dan mereka tahu akibatnya,” tambah Rouhani.
Minggu lalu, pemimpin tertinggi Iran Ayatullah Ali Khamenei juga berkata AS mengelak daripada terlibat dalam konfrontasi ketenteraan dengan Iran kerana kekuatan ketenteraan yang dimilikinya.
Khamenei menolak tawaran rundingan tanpa syarat Trump mengenai perjanjian nuklear baharu, yang dijawab Trump dalam wawancara dengan Reuters Isnin lalu yang beliau tidak kisah sekiranya pihak pemimpin Iran tidak mahu berjumpanya.
Hubungan antara Washington dan Tehran semakin buruk selepas Trump pada bulan Mei lalu menarik keluar AS daripada perjanjian antarabangsa dengan Iran.
Perjanjian melibatkan lima anggota Majlis Keselamatan PBB dan Jerman dengan Iran itu menetapkan Iran menghadkan program nuklear dan sekatan ke atas Iran dikurangkan.
Trump mendakwa perjanjian tahun 2015 itu cacat kerana tidak melibatkan sekali program peluru berpandu Iran atau penglibatan negara itu dalam konflik di Syria dan Yaman.
Trump juga telah mengenakan semula sekatan ke atas Iran ekoran tidak puas hati dengan perjanjian itu. – Reuters