Sunday, November 24, 2024

Creating liberating content

Saya Boleh Melihat, Mak-...

Sonia dan Anita, pasangan adik beradik yang buta sejak dilahirkan tidak menyangka mereka...

Lagi Pelajar Dakwa Dipukul...

KLANG - Satu lagi kes pukul di sebuah sekolah agama telah tersebar tular...

Peneroka Warga Emas Maut...

KOTA TINGGI - Seorang peneroka warga emas maut ketika cuba membuat pusingan U...

Tergamak Rogol Mayat Ibu

ABUJA - NIGERIA. Seorang remaja bertindak diluar batasan apabila membunuh sebelum merogol mayat...

Jadikan Kesukarelawanan Budaya Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Detik 19 Ogos diiktiraf sebagai Hari Kemanusiaan Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghargai sukarelawan yang sedia menghadapi bahaya dan kesukaran demi membantu insan lain.

Hari berkenaan disambut bersempena memperingati insiden pengeboman Ibu Pejabat PBB di Baghdad, Iraq yang mengorbankan 22 kakitangan pertubuhan itu pada 2003.

Setiap saat, minit dan jam, ramai sukarelawan yang terlibat dalam program atau misi bantuan kemanusiaan bagi membantu berjuta-juta orang di seluruh dunia, tanpa mengira siapa orang yang dibantu dan di mana mereka berada.

Namun, sejauh manakah yang mengetahui atau benar-benar menyelami maksud di sebalik insan yang bergelar sukarelawan?

Suka, rela dan ikhlas. Itulah ciri asas sukarelawan. Kesediaan untuk menghulur tenaga tanpa mengira bentuk bantuan dalam apa jua usaha kemanusiaan sudah cukup untukmenjadikan seseorang itu sukarelawan.

Menyedarinya tentang perkara ini bukannya tidak memadai, tetapi berapa ramai sebenarnya yang bersedia menjadi sukarelawan?

TUNTUTAN AGAMA

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM) Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata kesukarelawanan perlu diiringi sifat ihsan (baik) selaras dengan tuntutan Islam, yang mahukan umatnya mencontohi para rasul dan nabi dalam melakukan apa jua kebaikan.

Beliau melihat semangat kesukarelawanan di Malaysia sebenarnya ‘subur’ kerana IRM sentiasa menerima bantuan daripada mereka yang mahu turut serta dalam pelbagai program bantuan anjurannya baik di dalam atau di luar negara.

Sejak penubuhannya pada 2005, IRM sentiasa menggerakkan usaha termasuk mengadakan kursus induksi di seluruh negara bagi melahirkan sukarelawan yang berilmu dan berpengalaman berdasarkan kepada latar belakang serta kepakaran mereka.

“Bukan semua dapat mendedikasikan diri dan komited kepada kerja-kerja kesukarelawanan sepenuh masa. Jadi, IRM menggunakan pendekatan secara kreatif dan fleksibel untuk menggalakkan mereka terus terlibat dalam program kami.

“Sekiranya mereka tidak dapat menyertai kami di lokasi misi, mereka boleh menyumbang tenaga dengan berkongsi kepakaran dalam membantu kami meneruskan kempen kesukarelawanan atau misi kemanusiaan.

“Jika mereka berkemampuan, mereka boleh membantu dengan menyumbang dana yang kemudian kami salurkan kepada pihak yang memerlukan,” katanya sambil memberitahu IRM membantu kira-kira 30,000 orang di Malaysia setiap tahun.

‘INDUSTRI’

Beliau menggambarkan kesukarelawanan dan kemanusiaan umpama ‘industri’ yang mempunyai pengurusan, kewangan, operasi serta dibarisi tenaga pakar dengan matlamat mewujudkan dunia yang prihatin di mana komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan dan masyarakat bersatu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan.

Bersandarkan fakta bahawa 65 juta orang kini menjadi pelarian di seluruh dunia, beliau berkata jelas sekali ‘industri’ itu perlu ditangani dengan sebaik mungkin bagi memastikan matlamat kemanusiaan itu dicapai.

Zairulshahfuddin berkata menerusi kerja-kerja kesukarelawanan dalam negara, IRM mahu mengurangkan impak akibat bencana alam, mengupayakan komuniti, menggembleng sumber manusia dan dana menerusi pendekatan tiga fasa – bertindak pantas membantu mangsa semasa kecemasan; pembangunan pemulihan untuk mangsa; membantu pembangunan mangsa sehingga mampu berdikari.

“IRM turut menggerakkan pelbagai sumber, menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk media dan membangunkan keupayaan tempatan berpandukan nilai-nilai Islam untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan kaum. Matlamat kami, mereka perlu dibantu hingga akhirnya mampu berdikari,” jelasnya.

IRM, seperti mana organisasi induknya Islamic Relief yang berpejabat di United Kingdom, giat memberi bantuan kepada insan dihimpit kemiskinan atau sengsara akibat konflik di 40 negara termasuk di Asia Barat, Afrika serta negara-negara ASEAN.

PLATFORM MELUAS

Wartawan yang giat dengan aktiviti kemanusiaan, Syed Azwan Syed Ali, melihat kesukarelawanan berkembang pesat di Malaysia berikutan penubuhan banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan meluasnya platform kesukarelawanan.

Ini termasuklah program MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang memupuk budaya sukarela dalam kalangan generasi muda.

“Kesukarelawanan secara umumnya melakukan kerja-kerja kebajikan atau kemanusiaan tanpa sebarang upah. Majoriti sukarelawan memberikan masa, tenaga dan wang ringgit dalam kerja-kerja sukarela yang dilakukan dengan NGO pilihan,” kata Syed Azwan yang baru kembali daripada menyertai misi kemanusiaan di Cox’s Bazar, Bangladesh.


Menurutnya generasi muda khususnya lepasan universiti serta mereka yang berusia dalam lingkungan 35 ke atas mudah diajak untuk melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan dan sukarelawan dengan kelompok itu dilihat mendominasi tenaga sukarela bersama-samsa mereka yang lebih berusia menjadi fasilitator.

Beliau tertarik dengan kerja-kerja kemanusiaan selepas banyak kali ditugaskan membuat liputan mengenai isu-isu antarabangsa, konflik, bencana dan kemanusiaan semasa bertugas sebagai wartawan di sebuah syarikat media.

“Keputusan menumpukan kepada kerja-kerja kemanusiaan dibuat apabila menyedari saya boleh menyumbang melalui kepakaran media dengan terus membangkitkan isu-isu kemanusiaan, pelarian, konflik dan bencana dalam media massa.

“Saya berhasrat menjadi pakar media kemanusiaan yang membantu NGO, organisasi atau individu dalam bidang kemanusiaan menyampaikan hasrat mereka membantu golongan terpinggir termasuk pelarian. Misalnya, dalam isu Rohingya yang dianggap kurang penting selepas setahun kebanjiran etnik itu dari Myanmar ke Bangladesh…adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai aktivis dan wartawan untuk memberikan suara kepada kelompok terpinggir ini.

“Media massa hanya membangkitkan isu Rohingya pada fasa kecemasan tetapi tidak pada fasa selanjutnya. Oleh itu, saya berhasrat menggunakan pengalaman dan kepakaran selama lebih 14 tahun dalam bidang kewartawanan untuk memberi suara kepada kelompok yang tiada suara,” katanya yang kini aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan dengan Mercy Malaysia dan Yayasan Keamanan Global Perdana.

Beliau juga berpengalaman mengikuti misi kemanusiaan dan membuat liputan di zon konflik dan bencana termasuk di Palestin, Syria, Lubnan, Mesir, Somalia, Perancis, Greece, Myanmar, Bangladesh, Filipina dan Indonesia.

CABARAN

Mengakui berdepan banyak cabaran terutamanya akses ke zon konflik dan bencana, beliau berkata tidak semua misi yang disertainya berjaya dilaksanakan seperti yang berlaku di Gaza.

“Saya mengikuti tujuh misi kemanusiaan atau laporan khas sejak 2008 termasuk dua melalui jalan laut. Tetapi, saya hanya berjaya masuk ke Palestin (Gaza) masing-masing pada 2010, 2012 dan 2014,” katanya sambil memberitahu risiko lain yang perlu dihadapi sukarelawan adalah ancaman peluru sesat, terperangkap dalam pertempuran dan gencatan senjata rapuh di zon konflik.

Selain itu, adanya ancaman penyakit lazimnya berlaku di zon bencana seperti di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh (Kem Balukhali dan Kem Kutupalong) yang didiami lebih 650,000 pelarian.

Justeru itu, katanya, adalah penting bagi setiap sukarelawan untuk mengikuti kursus intensif dua minggu yang turut merangkumi persediaan mental dan fizikal anjuran NGO berkenaan sebelum dihantar ke zon bencana atau konflik.

Mengakui misi kemanusiaan atau kerja-kerja kesukarelawanan dapat membantu mereka yang dipinggirkan, beliau berkata keberadaan di zon konflik dan bencana juga mengajar sukarelawan untuk memberi dalam apa jua kapasiti yang ada pada diri mereka.

“Seorang doktor akan membantu merawat pelarian, seorang arkitek membina shelters, seorang jurutera membina telaga air dan seorang penulis/wartawan boleh menyampaikan kisah itu kepada dunia untuk kesedaran dan tindakan. Hatta, sukarelawan am pun boleh membantu walaupun dengan sumbangan minimum,”katanya.

KOMITMEN

Sebenarnya, ramai tidak menyedari bahawa ciri-ciri sukarelawan sebenarnya sudah pun ada dalam diri masing-masing. Cuma, ia disalurkan secara spontan atau tanpa disedari khususnya apabila berlaku musibah atau bencana berdekatan dengan mereka seperti kemalangan, kebakaran atau banjir.

Aspek bantuan lebih besar disalurkan menerusi program atau misi kemanusiaan oleh jabatan, agensi, pertubuhan atau persatuan yang mempunyai sejumlah sukarelawan tetap.

Sukarelawan perlulah mempunyai minat dan komitmen yang tinggi terhadap kerja-kerja sukarela. Mereka harus menampilkan keyakinan dan sikap yang sentiasa bersedia semasa melaksanakan sesuatu usaha bantuan selain proaktif, kreatif dan boleh mengurus kerja-kerja membantu dan kemanusiaan di tempat bencana.

Apa yang penting, menggalas tugas sebagai sukarelawan bukanlah kerana adanya ganjaran kewangan sebaliknya berpaksikan secara sukarela dengan matlamat akhirnya dapat memanfaatkan pihak yang memerlukan.

Sebagai sukarelawan, seseorang itu haruslah bertanggungjawab dengan melaksanakan tugas yang menuntut kekuatan tenaga, fizikal dan rohani itu dengan penuh keikhlasan. – BERNAMA

Kategori