MAKKAH – Jemaah haji yang menunaikan ibadat haji melalui pakej-pakej oleh agensi yang dilantik Tabung Haji (TH) harus membuat aduan kepada pihak TH, sekiranya terdapat masalah berkaitan dengan pakej mereka sebelum mereka pulang ke tanah air.
Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji TH musim 1439H Mat Admara Alang Azizdin berkata ia bagi memudahkan pihak pemantau TH untuk membuat siasatan dan mengambil bukti-bukti yang berkaitan sebelum mengambil tindakan ke atas agensi yang terlibat.
“Setiap agensi yang dilantik sebagai pengendali pakej haji akan diwajibkan untuk mengeluarkan risalah yang menyatakan perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah untuk dijadikan sebagai panduan oleh pemantau TH.
“Sekiranya terdapat perbezaan daripada apa yang dijanjikan pada risalah dengan apa yang dinikmati oleh jemaah, kami akan mengambil tindakan (ke atas agensi),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menyentuh tentang penyediaan makanan, beliau berkata pihak agensi wajib untuk memaparkan menu-menu makanan di tempat makan untuk tempoh seminggu bagi tujuan memastikan jemaah-jemaah pakej mendapat makanan seimbang yang dijanjikan.
Bagaimanapun, Mat Admara berkata pihak TH akan menilai terlebih dahulu tahap kesalahan yang dilakukan sebelum menentukan sama ada agensi terbabit akan diberikan teguran atau terus di ambil tindakan.
Beliau turut mengingatkan pemantau TH untuk tidak menerima bulat-bulat setiap aduan daripada jemaah, tanpa membuat siasatan terlebih dahulu.
Mengikut prosedur, beliau berkata setiap agensi yang telah dilantik akan diberikan tempoh dua minggu untuk memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan seperti menyediakan jaminan bank minimum sebanyak RM50,000, bergantung kepada jumlah jemaah di bawah pakej mereka.
Selain itu, agensi-agensi terbabit turut dikehendaki untuk menyediakan RM50,000 deposit tunai kepada TH dan jaminan Lembaga Pengarah yang bernilai RM100,000, yang akan digunakan sekiranya terdapat masalah kepada jemaah seperti ketiadaan penginapan.
“Saya juga ingin menasihati para jemaah yang ingin mengikuti pakej untuk menunaikan haji ini, supaya merujuk kepada iklan-iklan daripada syarikat pakej yang berdaftar dengan TH yang akan dikeluarkan di dalam akhbar, pejabat-pejabat TH daerah, masjid dan laman sesawang TH,” katanya.
Ini, katanya adalah bagi mengelakkan jemaah dari padatertipu dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah daripada jemaah.
Mat Admara berkata iklan berkenaan pakej-pakej haji bagi tahun berikut biasanya akan dikeluarkan oleh agensi-agensi yang telah dilantik kira-kira tiga bulan selepas tamat musim haji pada tahun ini.
“Saya pernah menerima panggilan daripada polis beberapa tahun lalu berkenaan kes jemaah ditipu oleh individu-individu yang menyamar sebagai pekerja TH dan menawarkan pakej menunaikan haji tanpa perlu menunggu giliran.
“Jemaah tersebut telah membayar sejumlah RM9,200 kepada individu terbabit, dan dijanjikan pulangan sebanyak RM18,000 apabila jemaah ini pulang semula ke tanah air,” katanya. – BERNAMA