SEMANGAT… Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah melahirkan rasa puas hati dengan jentera Barisan Nasional (BN) yang gigih setia bertugas sehingga tamat waktu pengundian pukul 5.30 petang Sabtu.
Malahan sikap positif jentera peraih bagi memastikan pemilih berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis jauh berbeza dengan petugas PKR sendiri yang agak lesu.
Jelas beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia, tinjauan di beberapa lokasi pengundian menunjukkan para petugas BN begitu tekun bagi mendapatkan sokongan ramai pengundi walaupun dalam keadaan cuaca hujan.
“Saya amat gembira dan puas hati kerana inilah semangat yang kita perlukan. Di kala parti keramat ini bukan lagi tonggak kerajaan apabila sudah jadi pembangkang, tetapi ahli parti masih begitu setia dan berjiwa besar membantu.
“Jika beginilah semangat orang UMNO, saya berasa yakin dan percaya kita mampu bangkit dengan lebih utuh pada masa depan terutama Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang,” ujar beliau kepada portal UMNO-Online.
Terdahulu Dr. Shamsul Anuar menyertai sekumpulan peraih undi di hadapan Kolej Islam Sultan Alam Shah, sebuah sekolah berasrama penuh aliran agama yang cukup terkenal di seluruh negara dengan kecemerlangan akademiknya.
Kehadiran beliau membuatkan para petugas semakin bersemangat menjalankan tugas meraih sokongan pengundi dan keadaan agak berlainan dengan jentera PKR bergerak bersendirian tanpa sokongan sekutu Pakatan Harapan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 80 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK itu dan keputusan bakal diumumkan pada pukul 10 malam. Namun media melaporkan sambutan amat dingin dan jauh merosot.
Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 sebaik sahaja proses pengundian tamat pada pukul 5.30 petang iaitu julung kali ada tambahan masa selama 30 minit.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni menentang calon BN daripada UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas tidak dikenali, K. Murthy.
Kerusi itu kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu, sekali gus PRK yang pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. – Agensi/Mynewshub.TV