JAKARTA – Jumlah mangsa yang terkorban akibat bencana gempa bumi di Pulau Lombok terus meningkat kepada 105 orang setakat hari ini.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan jumlah mangsa yang terkorban dikhuatiri terus meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang musnah teruk masih diteruskan.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat, BNPB Sutopo Purwo Nugroho berkata setakat 4 petang ini, 78 mangsa terkorban dicatatkan di Lombok Utara, 16 mangsa di Lombok Barat, dua di Lombok Tengah, tiga di Lombok Timur, empat di Kota Mataram dan dua di provinsi Bali.
“Pasukan penyelamat masih berusaha mengesan mangsa-mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bangunan atau rumah yang roboh, setakat ini kerugian harta benda dianggarkan lebih Rp1 trilliun (RM1 = Rp3,545.63),” katanya.
Beliau berkata penduduk di pulau itu juga masih trauma dan takut untuk berada di dalam bangunan atau rumah berikutan gempa susulan bermagnitud rendah masih berterusan berlaku sejak gempaberkekuatan 7 skala Richter menggegar pulau itu pada Ahad lepas.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dalam kenyataan berkata setakat ini seramai 179 warga Malaysia dikenal pasti berada di pulau itu.
“Mereka dilaporkan selamat dan dalam proses untuk mendapatkan penerbangan pulang ke tanah air,” kata kenyataan itu.
Pegawai-pegawai kedutaan Malaysia juga berada di Bali dan Lombok untuk memberi bantuan sewajarnya.
Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Lombok boleh menghubungi nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (Whatsapp) serta emel [email protected] / [email protected].
Selain itu, pihak berkuasa Indonesia turut menyediakan talian bagi menghulur sebarang bantuan yang berkaitan iaitu Foreign Visitor Helpdesk: +6287864124151, NTB Tourism Crisis Center: +6281285360608 atau +6281221702739.
Kementerian Luar Indonesia dalam kenyataan hari ini berkata pihak berkuasa Indonesia sedang melakukan evakuasi terhadap pelancong asing yang masih berada di Pulau Gili (pulau kecil di Pulau Lombok) untuk dibawa ke Bangsal, Lombok.
“Jumlah pelancong warga asing yang terperangkap di Pulau Gili (selepas berlaku gempa pada Ahad lepas) adalah sekitar 2,000 orang dan lebih dari 1,800 orang telah dievakuasi ke Bangsal (setakat petang ini),” kata kenyataan itu. – BERNAMA