GEMPAR… Petang 31 Julai lalu, ketika umat Islam sibuk menunaikan solat fardu Maghrib, ramai pula warga Lembah Klang dikejutkan dengan pancaran kilat kuat bergegar seperti gempa bumi.
Ia dilaporkan dapat dirasai dengan jelas penduduk malah ada mendakwa bunyi guruh di langit pada waktu tersebut cukup luar biasa daripada kebiasaan sehingga tular menerusi media sosial tempatan pada lewat hari Selasa itu.
Ada netizen mendakwa kesan daripada petir yang aneh tersebut bukan sahaja menggegarkan kediaman penduduk, bahkan penggera kecemasan di pelbagai kenderaan dan rumah turut berbunyi serentak sejurus insiden berkenaan.
Setakat ini, hasil pemantauan MYNEWSHUB mendapati, fenomena pelik itu kecoh dilaporkan dikesan di sekitar ibu negara selain Putrajaya dan jirannya, Selangor namun ada mendakwa, pancaran tersebut turut disaksikan di Johor.
Sebelum kejadian itu, ramai pengguna media sosial mendakwa suasana bermula dengan hujan lebat jam 6 petang dan langit jadi gelap seolah-olah keadaan sudah senja memasuki waktu Maghrib tetapi ia disangka sebagai normal.
Bagaimanapun menjelang pukul 8 malam, bunyi kilat sabung-menyabung menggegarkan penduduk, malahan ada mendakwa satu pancaran cahaya yang amat panjang seumpama tembakan laser dari langit terus ke arah daratan.
Secara kebetulan, fenomena alamiah yang turut disertai bunyi nyaring seperti trompet dari angkasa itu berlaku selepas masyarakat dunia menyaksikan kejadian gerhana bulan ‘berdarah’ paling lama abad ke-21 pada 29 Julai.
Keadaan tersebut juga mempengaruhi cuaca global apabila beberapa buah negara di Hemisfera Utara dilaporkan mengalami cuaca panas ekstrem manakala gempa bumi dahsyat di Lombok, Indonesia berlaku sehari selepas itu.
Gegaran pada skala 6.4 skala Richter itu mengakibatkan hampir 600 pendaki terperangkap di Gunung Berapi Rinjani yang meragut 14 nyawa termasuk seorang dari Malaysia manakala lebih 1,000 bangunan musnah teruk.
Baca: NASA Sah Bunyi Aneh ‘Kiamat’ Dari Langit Memang Wujud
Juga: Menteri Tani Israel Doa Minta Hujan Dek Kemarau 4 Tahun
Dalam pada itu, tinjauan MYNEWSHUB mendapati kejadian tersebut mungkin angkara kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang kebetulan melakukan eksperimen saintifik High Frequency Active Auroral Research Program (HAARP).
Projek senjata rahsia dengan eksploitasi fenomena alam bermula pada 1993 dan berpusat di Alaska itu pernah tular dalam kalangan netizen seluruh dunia awal dekad 2010-an apabila kecoh dengar bunyi pelik yang kuat dari langit.
Ia cetus sensasi apabila ramai netizen berkongsi rakaman video amatur menerusi laman Youtube pada ketika itu yang disangkakan konon sebagai tiupan sangkakala oleh malaikat Israfil sebagai petanda dunia hampir kiamat.
Namun, beberapa saintis astronomi waima pihak penyelidik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di AS mendakwa misteri itu mungkin disebabkan kajian HAARP yang dilakukan oleh tentera AS sendiri.
Untuk rekod, projek tersebut turut melibatkan 13 fasiliti rahsia HAARP di seluruh dunia kecuali benua Afrika dan rantau Asia Barat yang membolehkan serangan tentera AS dilancarkan hanya dengan strategi ‘permainan cuaca’.
Keadaan aneh ini pernah dilaporkan media berlaku di beberapa kawasan di Sarawak suatu ketika dahulu apabila penduduk tempatan mendakwa ada lihat pancaran cahaya dan suara kuat dari langit walhal cuaca pula agak baik.
Difahamkan, senario aneh itu berpunca ujikaji HAARP yang merentas pelbagai negara melibatkan stesen pemancar gelombang tinggi aurora aktif dari China, Jepun, India dan Australia sehingga turut menjejaskan iklim serantau.
Secara kebetulan, misteri kilat dan guruh luar biasa pada 31 Julai lepas berlaku sehari sebelum Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo julung kali lawat Malaysia bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya.
Kuasa besar dunia itu dipercayai cuba perluas pengaruh di Asia Tenggara ketika sibuk ‘perang perdagangan’ dengan kuasa ekonomi terkuat di dunia iaitu China yang semakin berkembang di Asia dan Afrika. – Agensi/Mynewshub.TV