KUALA LUMPUR – Seorang kelindan lori didenda RM5,300 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada keretanya, dua tahun lalu.
Majistret Farah Adlini Mohd Din menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Khairul Abdullah, 28, yang melakukan kesalahan tersebut di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, di sini, pada jam 11.50 malam, 27 Feb 2016.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Toyota Wish dengan nombor pendaftaran WSM 8285 yang telah didaftarkan atas kereta jenis Toyota Wald dan nombor enjin kereta tersebut didapati tidak didaftarkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam satu lagi kes di mahkamah sama, seorang penganggur, Mohd Kamarul Ariffin Mohamed Atar, 29, didenda RM5,200 atau dua bulan penjara selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikalnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Ampang, di sini, pada jam 6.30 petang, 10 April lalu.
Kedua-kedua mereka didakwa mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan terhadap dua kes tersebut dikendalikan oleh Inspektor Abdullah Khazali manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA