Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Rakyat Pamer Semangat Malaysia...

KUALA LUMPUR – Walaupun tiada sambutan besar-besaran, rakyat Malaysia tetap bersemangat untuk menyambut...

Qatar Rujuk PBB Selesai...

NEW YORK - Qatar mendakwa negara Arab melanggar undang-undang antarabangsa dengan memulaukan negara...

‘Superman’ DAP Masih Ditugaskan...

KUALA LUMPUR - Rakyat tidak boleh diperbodohkan oleh DAP kononnya parti itu tidak...

Lagi Kes Bunuh Diri,...

HEBOH dengan tindakan seorang wanita cuba membunuh diri di Jambatan Sultan Abdul Halim...

Kepala Dipenggal Di Depan Mata

KOTA BHARU – Tiga hari menahan lapar, mayat bergelimpangan dengan bau busuk selama beberapa hari antara pengalaman seorang warga emas dari Kampung Semut Api di sini ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Husain Hasan, 94, masih jelas mengingati kesengsaraan penduduk kampung ketika dalam tawanan askar Jepun walaupun kejadian itu sudah berlaku lebih separuh abad.

Ketika ditemui di rumahnya di sini, Husain yang sudah uzur dan mengalami masalah pendengaran, cukup bersemangat mengimbas kembali kronologi dan beberapa peristiwa penting bagi dirinya yang disifatkan sangat memeritkan.

“Ketika mula-mula tentera Jepun datang pada 1941, pada malam itu, saya dan penduduk kampung sedang menyaksikan persembahan ‘main teri (puteri)’ berhampiran PCB (Pantai Cahaya Bulan) di kampung ini untuk mengubati penyakit.

“Tidak lama kemudian, datang beberapa askar Jepun sambil berteriak memaklumkan kedatangan mereka dan menyuruh kami melarikan diri.

“Pada malam itulah bermulanya peperangan antara tentera Jepun dan British yang menyebabkan banyak kematian sama ada akibat dibunuh dan lemas di pantai ketika menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di PCB, di sini, hari ini.

Husain yang berumur 21 tahun ketika Jepun mula menduduki Tanah Melayu, berkata keadaan ketika itu sangat bising dengan bunyi bedilan senjata, suara teriakan malah di depan matanya juga menyaksikan tentera Jepun memancung tentera British yang tidak mungkin dapat dilupakannya.

Dia dan keluarga tidak mengambil masa yang lama untuk menyelamatkan diri dengan menggunakan perahu dan ‘berkampung’ di tengah laut selama beberapa hari dan tindakan yang sama turut diambil oleh penduduk kampung lain.

Hanya membawa sedikit beras dan biskut sebagai bekalan, Husain berkata mereka terpaksa memasak nasi di atas perahu dengan berhati-hati dan mengelak asap daripada terlihat oleh tentera Jepun yang sudah pasti mengancam nyawa mereka.


“Disebabkan berada selama beberapa hari bersembunyi di pinggir pantai, bekalan makanan kami mulai habis dan terpaksa menahan lapar selama tiga hari sebelum kami memberanikan diri naik ke darat semula,” katanya.

Ketika itulah dia dapat melihat banyak mayat bergelimpangan di tepi pantai dengan bau yang sangat busuk dan mayat itu dibiarkan mereput begitu sahaja tanpa ditanam.

Husain menyifatkan zaman pendudukan Jepun adalah tempoh yang sangat memeritkan bukan saja banyak penderaan mental dan fizikal berlaku kepada rakyat malah untuk meneruskan hidup juga amat perit kerana sukar mendapatkan makanan.

“Kebanyakan daripada kami hanya makan nasi sekali sehari dan selebihnya bergantung kepada ubi kayu.

“Ramai orang diseksa tentera Jepun termasuk dipaksa menjadi buruh kasar tanpa menerima upah, dipaksa minum air sabun malah ramai juga yang dibunuh kerana tidak mematuhi arahan mereka.

“Penderitaan kami berakhir sebaik tentera British tiba untuk merampas semula Tanah Melayu dan keadaan semakin pulih selepas laungan keramat kemerdekaan pada Ogos 1957,” katanya. – BH ONLINE

Kategori